Usahasama Hyrax-CPC Bukti Hubungan Baik Malaysia Dan Sri Lanka - Ahmad Zahid

COLOMBO (Sri Lanka) - Usahasama antara syarikat Malaysia, Hyrax Oil dan syarikat minyak kebangsaan Sri Lanka, Ceylon Petroleum Corporation (CPC) membuktikan komitmen dan hubungan baik bukan sahaja antara komuniti perniagaan malah di peringkat kerajaan kedua-dua negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata inisiatif itu juga menunjukkan hubungan dua hala yang stabil dan semakin kukuh antara Malaysia dan Sri Lanka.

"Malaysia dan Sri Lanka menikmati hubungan dua hala yang amat baik di peringkat politik dan ekonomi. Ini terbukti dengan pemeteraian enam perjanjian (sebelum ini) oleh kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pecah tanah projek kilang minyak pelincir Hyrax Oil Sdn Bhd di Daerah Gampaha, kira-kira 25 minit perjalanan darat dari sini, Khamis.

"Saat bersejarah hari ini merupakan satu lagi pencapaian penting syarikat Malaysia melabur di luar negara dan juga akan menggalakkan syarikat Malaysia yang lain untuk menerokai peluang perniagaan dan terus melabur di Sri Lanka," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Sumber Petroleum Sri Lanka Chandima Weerakkody.

Hyrax Oil ialah syarikat pengeluar dan pembekal minyak transformer, minyak pelincir dan derivatif petroleum yang dieksport ke lebih 35 negara.

Kilang berharga US$30 juta itu dibina di tapak seluas kira-kira dua hektar dan dijangka siap pada suku keempat 2017.

"Saya percaya kilang baharu ini bukan sahaja akan mewujudkan lebih banyak peluang kerja di sini tetapi juga akan menjana lebih banyak peluang perniagaan bagi Malaysia dan Sri Lanka," kata Ahmad Zahid.

Katanya pada 2015 jumlah perdagangan antara Malaysia dan Sri Lanka berjumlah US$570.9 juta dengan nilai eksport Malaysia ke Sri Lanka sebanyak US$481.4 juta manakala nilai import sebanyak US$89.5 juta.

Kilang itu merupakan yang kedua bagi Hyrax Oil di luar Malaysia, yang pertama di Johannesburg, Afrika Selatan.

Ahmad Zahid tiba di sini awal hari ini dalam rangka lawatan kerja dua hari bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi