Umat Islam perlu bersederhana sambut Aidilfitri

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru umat Islam supaya bersederhana dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti yang dituntut dalam agama Islam.

Dalam perutusan Aidilfitri tempoh hari, Ahmad Zahid mengajak umat Islam merenung sejenak nasib rakyat di Palestin, Syria, Iraq serta Somalia dan masyarakat Muslim seluruh dunia serta insan-insan pelarian dan pengemis yang menyambut Aidilfitri dalam suasana ketakutan dan curiga, serta tidak cukup untuk menampung kehidupan seharian mereka.

"Malaysia adalah anugerah kepada kita, seluruh lapisan rakyat Malaysia. Kita, tidak kira apa juga agama, kaum atau budaya, perlu bersyukur dengan apa yang kita kecapi kini yang didapati tanpa perlu berperit jerih.

"Kita berada dalam keadaan aman, hidup tanpa peperangan, yang mana kita kini bersama-sama berganding bahu ke arah memajukan negara kita," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Malaysia tidak seperti di negara-negara luar, di mana terdapat insiden-insiden keganasan yang telah meragut nyawa insan yang tidak bersalah.

"Dalam kejadian terbaharu di Masjid Nabawi di Madinah misalnya, umat Islam telah dikejutkan dengan insiden pengeboman berani mati yang telah meragut ramai nyawa.

"Kita berasa sedih dengan kejadian itu, yang berlaku pada penghujung Ramadan," katanya.

Ahmad Zahid turut melahirkan rasa dukacita terhadap kejadian serangan pengganas di Turki pada 28 Jun dan Bangladesh pada Jumaat lepas yang masing-masing mengorbankan 44 dan 20 nyawa, serta dikaitkan dengan kumpulan militan Daesh.

"Kita sama sekali tidak akan berkompromi dengan apa juga aktiviti yang berkaitan dengan keganasan," katanya.

Ahmad Zahid berkata, rakyat juga sebelum ini bimbang dengan laporan polis berhubung insiden pengeboman di sebuah kelab malam di Puchong pada 28 Jun lepas yang didakwa didalangi oleh militan Daesh, insiden yang pertama seumpamanya di negara ini.

Dalam hal ini, Ahmad Zahid turut menyeru orang ramai supaya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pasukan keselamatan negara dalam profesionalisme mereka untuk menangani isu berkenaan.

"Dalam musim perayaan ini, janganlah kejadian seumpama itu dibiarkan merosakkan kegembiraan dan kemeriahan sambutan perayaan kita.Segenap lapisan rakyat Malaysia perlu menyambut perayaan ini dengan semangat persaudaraan yang teguh berteraskan 1Malaysia.

"Ketika kita menyerahkan isu keselamatan kepada pihak berwajib, kita juga perlu mengambil tahu perkembangan yang berlaku di sekeliling kita," katanya.

Beliau turut berharap rakyat akan lebih berhati-hati di jalan raya apabila memandu kenderaan pada musim perayaan ini.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi