TPM Ahmad Zahid Tiba Di Ulaanbaatar Untuk Menghadiri Sidang Kemuncak ASEM Ke-11

ULAANBAATAR (Mongolia) - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) ke-11.

Pesawat yang membawa Ahmad Zahid dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Chinggis Khan di sini pada 4.24 petang (3.24 petang waktu Malaysia).

Ketibaan beliau dan delegasi disambut Duta Besar Malaysia ke China Datuk Zainuddin Yahya, yang juga ditauliahkan serentak ke Mongolia, dan para pegawai daripada negara tuan rumah dan Malaysia.

Bertemakan "20 Tahun ASEM: Perkongsian Untuk Masa Depan Melalui Kesalinghubungan", sidang kemuncak yang bermula Jumaat menandakan ulang tahun ASEM yang ke-20 sejak ia ditubuhkan pada 1996.

Para pemimpin dijangka membincangkan dan mengkaji semula kemajuan dan pencapaian perkongsian selama dua dekad selain merangka hala tuju bagi proses dialog antara wilayah bagi dekad akan datang.

Perkembangan politik di Asia dan Eropah, memerangi keganasan dan migrasi adalah antara isu semasa yang akan dibincangkan selain memperkukuhkan perkongsian ASEM melalui kesalinghubungan yang lebih hebat.

Para pegawai kanan telah mengadakan mesyuarat dua hari mereka pada Selasa dan Rabu bagi Deklarasi Ulaanbaatar, yang bermatlamat untuk merangka hala tuju masa depan ASEM yang akan memasuki dekad ketiga.

Ahmad Zahid dijadual mengambil bahagian dan mengutarakan pandangan pada Sidang Pleno Pertama dalam sidang kemuncak itu yang akan menyaksikan perbincangan berdasarkan topik "Dua Dekad Perkongsian: Membuat Penilaian dan Melihat Ke hadapan".

Beliau juga dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan para pemimpin di luar sidang kemuncak itu bagi membincangkan isu dua hala, wilayah dan antarabangsa demi kepentingan bersama.

ASEM merupakan platform bagi mengadakan dialog dan kerjasama berasaskan kepada perkongsian yang sama di antara negara Asia dan Eropah.

Ia mempunyai 53 rakan kongsi terdiri daripada 21 negara Asia, 28 negara anggota Kesatuan Eropah, dua lagi negara Eropah, Kesatuan Eropah dan Sekretariat ASEAN.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi