Tindakan Tegas Terhadap Pihak Sebar Ancaman Daesh - Zahid

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat tidak sahih dalam media sosial mengenai ancaman militan Daesh di negara ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri itu berkata penyebaran maklumat tidak sahih itu hanya menimbulkan kegusaran serta ketakutan dalam kalangan orang ramai serta perlu dihentikan serta-merta.

Katanya, sebarang maklumat rasmi mengenai ancaman itu akan dikeluarkan secara rasmi oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguatkuasaan lain.

"Ia tidak perlu dijadikan sandaran untuk keselamatan rakyat dan negara. Apa-apa maklumat yang disebarkan tanpa disahkan dengan pihak penguatkuasaan, ia hanya menimbulkan kegusaran dan membawa masalah ketenteraman negara," katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata demikian dalam temuramah lintas langsung bersama Bernama News Channel (BNC) pada majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri beliau di Sri Satria, kediaman rasmi timbalan perdana menteri, di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan pihaknya mengeluarkan amaran ancaman bom di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, yang menjadi viral di beberapa laman sosial.

Khalid dilaporkan memberitahu mesej palsu berupa amaran kepada orang ramai terhadap beberapa lokasi pusat beli-belah The Curve dan Publika, Bangsar, Bukit Bintang, Hartamas, serta Menara Kuala Lumpur.

Lain-lain lokasi termasuk stesen-stesen LRT, pusat beli-belah Menara Berkembar Kuala Lumpur, Mid Valley, Pavilion serta Jalan Aloy dan Petaling Street.

Ketika ditemui di majlis itu, Khalid sekali lagi mengingatkan kepada semua media cetak dan portal berita dalam talian agar tidak menyiarkan dan mempromosikan gambar-gambar memaparkan kumpulan militan Daesh khususnya mereka yang berpakaian seragam dan membawa senjata.

"Jangan siarkan. Jangan gambarkan mereka sebagai pasukan yang hebat. Ini juga akan membangkitkan semangat anak-anak muda kita menyertai mereka. Jangan mengagung-agungkan mereka.

"Itu yang mereka (Daesh) nak. Mereka ini mahu kita bercakap mengenai mereka setiap hari. Ini adalah propaganda untuk menakutkan kita semua," katanya, sambil memberi keyakinan bahawa rakyat Malaysia tidak perlu risau mengenai perkara ini.

Menurut Khalid, pihaknya serius dalam membanteras pengaruh dan tindakan kumpulan militan itu di negara ini dengan banyak pegawai dan anggota polis tidak dibenarkan bercuti bagi memastikan negara sentiasa aman daripada sebarang ancaman.

Beliau juga berkata pihaknya juga memantau secara rapi pelajar luar negara yang menuntut di institusi pengajian tinggi di negara ini yang mungkin terpengaruh serta mempunyai kaitan dengan kumpulan militan itu.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, yang ditemui di majlis itu, berkata pihaknya telah mengambil langkah pencegahan bagi memastikan warga tentera tidak terpengaruh dengan dakyah Daesh di laman siber dan media sosial.

Justeru, katanya, pihaknya sudah lama menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi memantau dan menangani perkara itu dalam kalangan anggota tentera.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi