Malaysia Guna Peluang Pada ASEM Untuk Lihat Kesan Brexit

ULAANBAATAR, Mongolia - Malaysia akan menggunakan peluang pada Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) ke-11 yang bermula di sini Jumaat untuk melihat kesan daripada keputusan Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) terhadap perdagangan dan pelaburan negara dan juga rantau ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia mempunyai hubungan tradisi dengan Britain dan keputusan keluar EU mungkin memberi kesan, terutamanya pelaburan langsung (FDI) di sana.

"Kita ada pelaburan di Britain, terutama dalam bidang hartanah. Beberapa konsortium negara mempunyai pelaburan signifikan di sana," katanya dalam sidang media bersama wartawan Malaysia sejurus tiba di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) kali ke 11 yang bermula Jumaat.

Pada Jun, rakyat Britain memutuskan untuk keluar daripada EU dalam satu pungutan suara (Brexit).

Ahmad Zahid juga berkata beliau akan mengutamakan dan berkongsi pengalaman Malaysia dalam membanteras keganasan, migrasi dan pemerdagangan orang pada Sidang Kemuncak ASEM.

"Malaysia mempunyai pengalaman dalam menangani soal radikalisasi. Walaupun waktu saya bentangkan singkat, saya akan berbincang tentang soal ini ketika sesi tidak formal," kata Ahmad Zahid.

Menurut beliau, beberapa negara berminat mempelajari pengalaman Malaysia dalam soal keganasan, migrasi dan pemerdagangan orang, antaranya Itali, Belanda dan Britain.

Ahmad Zahid juga berkata Malaysia akan menekankan keperluan untuk mengaktifkan semula tonggak ekonomi di bawah kerangka kerjasama ekonomi sejajar dengan usaha untuk meningkatkan ekonomi dunia.

Negara-negara anggota ASEM merangkumi 50 peratus penduduk dunia, menyumbang sekitar 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sekitar 60 peratus dagangan dunia.

Ahmad Zahid juga dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, dan Perdana Menteri Slovenia Miro Cerar semasa Sidang Kemuncak ini.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi