Malaysia Beri Jaminan Kepada India Akan Bantu Banteras Penyeludupan Rupee Palsu Ke KL - Zahid

NEW DELHI - Malaysia memberi jaminan kepada India bahawa ia akan membantu negara itu membanteras penyeludupan rupee palsu ke Kuala Lumpur, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Selasa.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau memberi komitmen itu semasa mesyuarat tertutup dengan rakan sejawatannya dari India, Rajnath Singh di pejabat beliau di sini, lewat Isnin.

"Mereka mengemukakan permintaan (minta bantuan) untuk menangani dan memerangi isu ini dengan segera. Saya diberitahu, rupee palsu ini dicetak di luar India dan diseludup masuk ke Malaysia.

"Oleh itu, kita perlu mendapatkan butir-butir mengenai perkara itu dan saya telah menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas mesyuarat untuk tindakan segera walaupun tiada permintaan bertulis secara rasmi," kata beliau kepada media Malaysia, di sini Selasa.

Ahmad Zahid berkata aktiviti penyeludupan tidak dijalankan menerusi India tetapi melalui negara lain dan rupee palsu dijadikan mata wang dan sebahagian daripada perdagangan perniagaan dan urus niaga di Malaysia.

Ahmad Zahid berkata, perkara lain yang dibincangkan ialah keperluan menubuhkan Kumpulan Kerja Bersama antara kementerian masing-masing untuk memuktamadkan perjanjian mengenai beberapa aspek seperti mengukuhan kerjasama mengenai pertukaran perisikan dan kerjasama memerangi penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

"Pada Oktober tahun ini, mereka akan melawat Malaysia untuk memuktamadkannya. Kemudian, perjanjian itu akan ditandatangani semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke India awal tahun depan," katanya.

Ahmad Zahid berkata, mereka juga bersetuju bahawa Malaysia dan India tidak harus dijadikan destinasi transit bagi pekerja rakyat asing tanpa izin atau kumpulan pengganas yang hendak ke negara lain.

Mengenai ancaman keselamatan siber, Ahmad Zahid berkata, India percaya ini boleh ditangani melalui pusat pintas mesej serantau yang dilancarkan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata kerjasama yang serupa diguna pakai antara China dan Taiwan dan templat ini boleh digunakan oleh India untuk memerangi ancaman keselamatan siber.

"Jika kita tidak membendung jenayah keselamatan siber, ia akan tersebar secara meluas dan mungkin menular di luar kawalan,' katanya sambil menambah pada masa ini terdapat hanya satu kemudahan sedemikian di Amerika Syarikat dan satu lagi berpangkalan di Dubai.

Malaysia dilaporkan akan menubuhkan pusat pintas mesej serantau pertamanya dalam usaha mengekang pengaruh kumpulan militan Daesh seperti diumumkan oleh Najib pada Mac lepas.

Pusat pintas mesej itu akan beroperasi pada 1 April dan setiap negeri di Malaysia akan mempunyai sebuah unit untuk membendung fahaman negatif Daesh di internet dan menghalang mereka daripada mempengaruhi dan merekrut rakyat Malaysia untuk menyertai sayap militan di Syria.

Ahmad Zahid tiba di sini pada Ahad untuk lawatan kerja selama tiga hari bagi meningkatkan hubungan antara Malaysia dan India.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi