Lebih 25,000 Tetamu Kunjungi Rumah Terbuka TPM Di Putrajaya

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Kassim meraikan lebih 25,000 pengunjung pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di sini hari ini.

Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri itu kediaman rasminya di Sri Satria, Presint 16, di sini, bermula 3 petang dan turut dihadiri masyarakat pelbagai kaum, pelancong asing serta pemimpin parti dan anggota barisan Kabinet.

Antara hadir sama untuk mengucapkan 'Selamat Aidilfitri' ialah Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang juga menteri pengangkutan, Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam (menteri kesihatan) dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Masing.

Turut sama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Ahmad Zahid dan isteri, yang masing-masing memakai baju Melayu dan baju kurung berwarna kelabu biru muda, meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan orang ramai yang hadir ke majlis itu.

Antara juadah istimewa yang dihidangkan ialah sate, murtabak, ayam goreng, mee goreng, nasi impit dan kuah kacang, ketupat, kuih raya dan buah-buahan.

Majlis yang berakhir kira-kira pukul 7 malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis-artis tempatan.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi