India Mahu Malaysia Jadi Penggerak Utama Tangani Isu Antarabangsa

NEW DELHI - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata India mahu Malaysia menjadi penggerak utama dalam menangani beberapa isu antarabangsa khususnya mengenai keganasan dan deradikalisasi.

Timbalan Perdana Menteri, berkata perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi kepada beliau dalam satu pertemuan tertutup, lewat petang semalam.

Ahmad Zahid berkata, Modi turut memuji peranan Malaysia dalam mengambil langkah proaktif khususnya mengendalikan dan menangani isu keganasan.

"Modi kagum dengan peranan Malaysia berdasarkan pengalaman kita dalam menyediakan modul deradikalisasi.

Malah, India juga ingin belajar dari Malaysia terutama dalam pelaksanaan undang-undang pencegahan keganasan," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke India, malam tadi.

Beliau berkata, India juga menerima tawaran supaya pegawai agensi penguatkuasaan negara itu yang terbabit dalam pencegahan keganasan menerima latihan di Malaysia.

"India menerima jemputan kita dalam hal ini. Soal bila perkara ini mahu bermula, terpulang kepada India kerana kita di peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara sudah bersedia untuk membantu," katanya.

Ahmad Zahid akan berlepas ke Sri Lanka dari New Delhi, hari ini bagi memulakan lawatan kerja dua hari, di negara berkenaan bermula esok.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi