Ahmad Zahid Umum US$100,000 Bagi Penubuhan Pusat Islam Dan Melayu Di Colombo

COLOMBO (Sri Lanka) - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mengakhiri lawatan kerja dua hari ke Sri Lanka semalam, mengumumkan sumbangan US$100,000 bagi mewujudkan sebuah pusat Islam dan Melayu di Colombo, Sri Lanka.

Bercakap kepada media Malaysia di sini, Ahmad Zahid menjelaskan peruntukan itu bukannya daripada kerajaan, sebaliknya sumbangan daripada sebuah yayasan.

"Pusat ini dapat membantu lebih 70,000 umat Islam dan Melayu terutama untuk berkumpul dan menjalankan pelbagai aktiviti seperti pembelajaran Bahasa Melayu," katanya di akhir lawatan kerja dua hari beliau ke negara Asia Selatan itu.

Terdahulu timbalan perdana menteri bertemu dengan wakil dan ahli Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) cawangan Sri Lanka. DMDI beribu pejabat di Melaka.

Ahmad Zahid berkata DMDI Sri Lanka meminta bantuan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pendidikan dalam mengajar Bahasa Melayu di kalangan masyarakat itu di Sri Lanka.

Ahmad Zahid juga berkata beliau akan berbincang dengan DBP, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) serta persatuan lain bagi meneliti cara membantu masyarakat Melayu Sri Lanka dari segi menghantar tenaga pengajar untuk mengajar Bahasa Melayu.

"Mereka bersungguh-sungguh ingin belajar dan menghidupkan semula bahasa dan budaya Melayu. Saya yakin ini boleh dilakukan...saya secara peribadi akan bantu mereka," katanya.

Ahmad Zahid berkata masyarakat Melayu di Sri Lanka berasal dari Malaysia.

Menurutnya kebanyakan mereka terlibat dalam bidang perniagaan dan mereka berusaha sekurang-kurangnya menjadi kumpulan berpendapatan menengah yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara dan kemajuan bahasa serta agama.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi