Ahmad Zahid Lawat Sri Lanka Dua Hari Mulai Khamis, Erat Hubungan Dua Hala

COLOMBO (SRI LANKA) - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan memulakan lawatan kerja dua hari ke Sri Lanka mulai Khamis, mempunyai jadual ketat termasuk melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Sr Lanka Maithripala Sirisena.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka Wan Zaidi Wan Abdullah berkata lawatan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang antara Kuala Lumpur dan Colombo.

Ahmad Zahid dengan diiringi isteri Datin Seri Hamidah Khamis dijadual tiba di sini pada 12.30 pagi esok (kira-kira 3 pagi waktu Malaysia, katanya kepada media Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka, di sini Rabu.

Katanya pada lawatan hari pertama, selain mengunjungi Maithripala, timbalan perdana menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Sri Lanka Vajira Abeywardena di kementerian itu di Independence Avenue dan selepas itu mengadakan perbincangan dengan Menteri Pekerjaan Asing Thalatha Atukorale di kementerian itu.

"Malaysia dan Sri Lanka memang menjalin hubungan dua hala yang erat sejak hubungan diplomatik dijalin pada 1957 lagi. Walaupun ini lawatan kerja tapi kerajaan Sri Lanka mengkelaskan lawatan beliau sebagai lawatan rasmi," katanya.

Wan Zaidi berkata pada Jumaat iaitu hari kedua lawatan, timbalan perdana menteri dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Sri Lanka Ranil Wickremesinghe di pejabat beliau di Temple Tree, di sini dan juga mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Sri Lanka Mangala Samaraweera.

Katanya antara isu yang dijangka dibincangkan Ahmad Zahid semasa lawatan itu adalah kerjasama yang boleh dilakukan oleh kedua-dua negara dalam menangani keganasan.

"Memandangkan Malaysia amat komited dalam keamanan antarabangsa dan keselamatan serantau, jadi hubungan termasuk dengan Sri Lanka amat penting dalam pastikan isu-isu ini ditangani bersama, sama ada secara dua mahupun pelbagai hala," katanya.

Menjawab satu soalan, Wan Zaidi berkata perkara berkaitan pengambilan pekerja Sri Lanka juga mungkin dibincangkan memandangkan ada permintaan dari kerajaan Sri Lanka untuk tambah pekerja Sri Lanka di sektor perladangan dan perkilangan di Malaysia.

"Sri Lanka belum jadi pembekal utama pekerja asing untuk pasaran Malaysia, tapi ada permintaan untuk sektor tertentu," katanya.

Wan Zaidi berkata selain itu, esok timbalan perdana menteri juga dijadual melakukan upacara pecah tanah kilang pembuatan minyak pelincir Hyrax Oil Sdn Bhd di Muthurajawela, kira-kira 25 minit perjalanan dari pusat bandar Colombo. Ia adalah projek usahasama antara syarikat Malaysia dan Ceylon Petroleum Corporation (CPC).

Majlis ini akan turut dihadiri Menteri Pembangunan Sumber Petroleum Sri Lanka Chandima Weerakkody, katanya.

Beliau berkata Ahmad Zahid juga akan hadir pada majlis perjumpaan dengan rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di Sri Lanka, selain kumpulan-kumpulan yang menjadi rakan Malaysia (Malaysian Diasporas in Sri Lanka and Friends of Malaysia) pada majlis makan malam di sini.

Wan Zaidi berkata pada masa sekarang terdapat kira-kira 100 rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di negara Asia Selatan ini.

Pada Jumaat, katanya timbalan perdana menteri juga dijadual melawat Asia Pacific Institute for Information Technology (APIIT) di sini selain mengadakan pertemuan dengan kumpulan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) cawangan Sri Lanka, sebelum dijadual berlepas pulang ke tanah air pada kira-kira 2 petang waktu tempatan.

Majlis DMDI melibatkan pertemuan dengan wakil-wakil masyarakat Melayu Sri Lanka.

"Semasa lawatan ke APIIT, timbalan perdana menteri akan meninjau penglibatan institusi pendidikan Malaysia di sini,' kata Wan Zaidi.

Katanya pada masa sekarang terdapat kira-kira 1,500 pelajar Sri Lanka di Malaysia, manakala tiada pelajar Malaysia yang belajar di Sri Lanka.

Dari segi pelancongan, kira-kira 51,000 rakyat Sri Lanka melawat Malaysia pada 2015 dan angka itu dijangka meningkat tahun ini antara 8 hingga 10 peratus.

Sri Lanka ialah rakan perdagangan ke-46 terbesar Malaysia dan destinasi eksport ke-38 terbesar Malaysia.

Pelaburan Malaysia di Sri Lanka mencecah lebih US$ 2 bilion setakat ini.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi