TPM Ahmad Zahid Luangkan Masa Tinjau Bazar Ramadan Di Kuala Kangsar

Walaupun sibuk dengan jadual yang padat, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini tidak melepaskan peluang menyertai orang ramai mengunjungi Bazar Ramadan di Arena Square di sini.

Beliau tiba di bazar itu pada 5.20 petang dan meluangkan masa kira-kira 40 minit meninjau bazar tersebut sambil membeli pelbagai juadah berbuka puasa.

Turut mengiringinya Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan anak-anak calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid iaitu Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, 26, dan Wan Iskandar, 23 tahun.

Orang ramai yang hadir juga tidak melepaskan peluang bersalaman dan mengambil gambar kenangan bersama pemimpin nombor dua negara itu.

Ahmad Zahid yang memakai kemeja berwarna biru itu juga tidak melepaskan peluang untuk cuba menggoreng roti boom.

Seorang peniaga yong tau fu, Lela Yusof, 40, berkata beliau sangat teruja apabila Timbalan Perdana Menteri sudi datang ke kedainya dan membeli makanan itu.

"Terima kasih saya ucapkan kepada beliau kerana membeli yong tau fu dalam kuantiti yang banyak dengan harga RM200," katanya yang telah mengusahakan perniagaan itu sejak 10 tahun lalu.

Zainah Ahmad, 56, berkata perasaannya berdebar-debar ketika melayan pemimpin nombor dua negara yang membeli beberapa jenis lauk di gerainya.

"Saya berpeluh-peluh ketika melayan beliau kerana ini pertama kali saya terima pelanggan daripada orang kenamaan," katanya.

Ahmad Zahid kemudian ke majlis berbuka puasa bersama masyarakat dan penduduk tempatan di Masjid Al ansar, Senggang sebelum menunaikan solat isyak, tarawih dan moreh di Masjid Sayong Lembah, PDM Sayong Lembah.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada