TPM Ahmad Zahid Harap Agensi Penguatkuasaan Fahami Tugas Media

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agensi-agensi penguatkuasaan memahami tugas media, yang antara lainnya bertujuan memberi kesedaran mengenai agensi berkenaan kepada masyarakat.

Sambil meminta laporan mengenai sesebuah agensi penguatkuasaan tidak disalahertikan, beliau berkata dalam dunia tanpa sempadan kini, media berperanan memberi liputan dan pendedahan mengenai agensi penguatkuasaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengakui ada di antara liputan media terhadap agensi penguatkuasaan yang membawa sanjungan berikutan kejayaan yang dicapai namun, ada juga media yang melaporkan sebaliknya.

"Ia (laporan media) bukan bertujuan negatif tetapi mengingatkan kita supaya menggunakan kuasa dan bertindak mengikut tatacara ditetapkan. Tetapi, kadang-kadang tulisan yang baik disalahertikan oleh khalayak.

"Saya fikir, tiada tujuannya sama ada pihak media atau penguat kuasa menuding jari kepada satu sama lain sebaliknya, berlandaskan tugas masing-masing yang amat diperlukan, ia perlulah difahami," katanya ketika berucap kepada 1,000 tetamu yang menghadiri majlis berbuka puasa Timbalan Perdana Menteri bersama-sama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan media di kediaman rasminya Sri Satria di sini, malam ini.

Antara yang hadir ialah Timbalan-timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim serta ketua-ketua pengarang organisasi media termasuk Pengerusi dan Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang dan Datuk Zulkefli Salleh.

Ahmad Zahid berkata beliau menganjurkan majlis berbuka puasa PDRM dan media bagi mengeratkan lagi hubungan kedua-dua pihak.

"Sebagai orang yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan, saya harus mengambil peduli usaha agensi penguatkuasaan, dan pada waktu sama, saya juga harus menjaga rakan-rakan media yang membuat liputan berita.

"Saya harap apa yang akan kita hadapi di waktu-waktu mendatang dapat membolehkan hubungan (dijalin) lebih baik," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis turut menyampaikan sumbangan kepada 101 pelajar dan guru dari Maahad Tahfiz Akademi Iqra, Kajang.

Selepas berbuka puasa, Ahmad Zahid dan isteri serta tetamu menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi