Siasatan Kematian Menantu TPM Dijangka Selesai Satu Atau Dua Minggu

Siasatan terhadap kes kematian menantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi dijangka selesai antara satu dan dua minggu lagi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata siasatan itu meliputi semua aspek profesionalisme perubatan, termasuk amalan dijalankan serta pengamal perubatan bertugas ketika rawatan diberikan kepada mangsa.



"Siasatan sedang dilakukan secara terperinci oleh Bahagian Amalan Perubatan dan Bahagian Pergigian Kementerian Kesihatan, mungkin dalam satu atau dua minggu akan selesai segala siasatan yang dibuat.


"Setakat ini, ada beberapa perkara dibawa kepada pengetahuan saya, namun saya tidak akan mengumumkannya sehingga siasatan menyeluruh selesai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pooja Boomi dan meletak batu asas Kuil Sri Vanathandavar di Sungai Udang di sini hari ini.

Syed Alman Zain, 44, suami kepada anak sulung Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah dilaporkan pergi ke klinik berkenaan kira-kira pukul 6 petang, Rabu lepas untuk mendapatkan rawatan pergigian bersama seorang rakannya sebelum tidak sedarkan diri.

Allahyarham kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan disahkan meninggal dunia.

Dr Subramaniam berkata klinik swasta berkenaan dikawal mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, dan tindakan akan dibuat berdasarkan hasil siasatan tersebut.

"Kita juga akan lihat kes ini mengikut akta lain antaranya Akta Perubatan 1971 dan Akta Pergigian 1971. Undang-undang yang ada cukup untuk diambil tindakan kerana kita memang tegas," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya dalam usaha untuk meningkatkan penglibatan kaum India dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seterusnya dapat berbakti kepada negara.

Beliau berkata antara langkah yang boleh dilakukan bagi merealisasi hasrat itu adalah mengadakan lebih banyak pengambilan khusus untuk kaum India seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Penglibatan kaum India dalam ATM amat rendah. Secara keseluruhan kurang daripada empat peratus sahaja daripada mereka dapat berkhidmat dalam pelbagai jawatan kerajaan pada masa kini. Kita sasarkan untuk meningkatkan jumlah ini pada masa akan datang," katanya.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada