Serangan Di Lapangan Terbang Istanbul Tindakan Amat Dikesali - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata serangan pengebom bunuh diri di Lapangan Terbang Ataturk di Istanbul semalam amatlah dikesali dan harus dikutuk sekeras-kerasnya oleh masyarakat antarabangsa.

Menurut laporan dari Turki, keganasan itu mengorbankan 41 orang dan lebih 230 orang lagi cedera.

Ketika mengutuk serangan itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia terkejut dan sedih setiap kali negara-negara sahabat dan wilayahnya diserang oleh pengganas.

"Kami merakamkan simpati dan takziah kepada keluarga mangsa dan juga kepada kerajaan Turki yang cintakan keamanan kerana menghadapi ujian semasa bulan Ramadan yang mulia ini," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa usaha memerangi keganasan tidak akan terhenti malah akan diteruskan.

"Marilah kita semua teguh dan bersatu-padu dalam memerangi keganasan, sama ada di negara sendiri atau di tempat lain. Kita tidak akan berhenti sehingga mereka ditumpaskan sepenuhnya," katanya.

Tiga penyerang bunuh diri dilaporkan melepaskan tembakan sebelum meletupkan diri mereka di bangunan lapangan terbang pada lewat Selasa.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada