Pindaan Akta Kanak-kanak Harus Diwartakan Segera

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pindaan terhadap Akta Kanak-Kanak 2015 yang diluluskan dapat diwartakan segera.

Beliau berkata ini penting bagi menghalang kes penderaan dan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak seperti pedofilia terus meningkat di negara ini.

"Kementerian Dalam Negeri memang menyokong usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Akta itu perlu disegerakan. Jangan sudah terantuk baru tengadah," katanya di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Katanya, satu perbincangan juga telah diadakan oleh KPWKM bersama pakar undang-undang berhubung pindaan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan KPWKM minggu lepas supaya pindaan itu diwartakan secepat mungkin.

Pindaan yang diluluskan Parlimen Mei lepas, melibatkan lebih 70 peratus penggubalan akta itu termasuk peruntukan bagi daftar pesalah seks.

Beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan juga terus menggesa kerajaan supaya akta tersebut dikuatkuasakan secepat mungkin berikutan kes pedofilia yang menggemparkan Malaysia baru-baru ini.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada