MRSM Kedua Untuk Anak Polis Bakal Dibina Di Perak Tahun Ini

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan pembinaan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak khusus untuk anak-anak anggota polis.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata MRSM itu merupakan yang kedua seumpamanya selepas yang pertama di Kulim, Kedah, bagi menempatkan anak-anak anggota polis yang layak dari seluruh negara.

"Kita telah putuskan pembinaannya di satu kawasan yang telah dibeli dan tender (pembinaan) dijangka dikeluarkan pada akhir bulan ini.

"Di mana (kawasan) pembinaannya akan diumumkan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Markas Taktikal (Martek) pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya Ahmad Zahid berkata pengumuman pembinaan MRSM itu bukan semata-mata kerana PRK Kuala Kangsar, sebaliknya ia dibuat sebagai menghargai anak-anak anggota keselamatan.

"Saya tahu anak-anak kita memerlukan tempat untuk asrama penuh. Kita tahu anak tentera ada MRSM untuk mereka, jadi anak polis juga kena ada.

"Kita bukan cemburu dengan pasukan lain tapi saya mahu menghargai anak-anak polis," katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut memberi jaminan akan memastikan kebajikan polis khususnya anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mendiami kuarters daif diberi perhatian.

Selain itu, Ahmad Zahid meminta bayaran elaun khas kepada anggota polis yang terlibat dalam PRK Kuala Kangsar dibayar sebelum Aidilfitri bagi menghargai sumbangan mereka dalam memastikan proses pilihan raya kecil itu berjalan lancar.

"Saya faham anak buah saya. Sebab itu kalau boleh bayarlah elaun sebelum tamat pilihan raya," katanya sambil diberi tepukan gemuruh oleh semua anggota polis yang hadir.

Seramai 1,575 anggota polis terlibat menjaga keamanan dan kelancaran kempen PRK Kuala Kangsar.

Mengenai PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar, Selangor, Ahmad Zahid turut menyifatkannya sebagai PRK paling aman dalam sejarah PRK negara.

PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pengundian bagi kedua-dua PRK diadakan serentak pada 18 Jun.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada