Kunjungan Ahmad Zahid Ke Jepun Buka Laluan Kerjasama Lebih Erat Bangun Industri Halal

Lawatan rasmi pertama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Jepun minggu lepas atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan sahaja mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala yang telah lama terjalin tetapi juga membuka laluan bagi kerjasama dalam bahagian pertumbuhan baharu terutamanya industri halal.

Banyak yang boleh ditawarkan Malaysia kepada Jepun dari segi pengalaman negara dalam mengeluarkan barangan dan perkhidmatan halal memandangkan jangkaan kedatangan lebih sejuta pelancong dan atlit beragama Islam ke Jepun apabila Tokyo menjadi tuan rumah kejohanan Olimpik 2020.


Status bereputasi Malaysia sebagai hab halal utama dunia dan pusat rujukan dan perdagangan global bagi industri halal arus perdana baharu yang dipandang tinggi oleh kerajaan Jepun, sepatutnya dieksploitasikan dengan sewajarnya.

Banyak yang boleh ditawarkan Kuala Lumpur dari segi persijilan halal, pindahan teknologi dan prosedur operasi standard dalam menentukan produk dan perkhidmatan halal.

Kerajaan Jepun berminat untuk menjadikan Tokyo sebagai destinasi mesra orang Islam, yang mana Malaysia bersedia untuk membantu.

Justeru, perlu ada interaksi peringkat tinggi yang konsisten antara Malaysia dan Jepun dan lawatan Ahmad Zahid menyokong usaha ini.

Tambahan lagi, di Jepun sendiri terdapat kira-kira 100,000 orang Islam yang mana 10 peratus adalah orang Jepun sendiri, manakala selebihnya orang asing yang menetap di Jepun.

Seperti yang ditekankan timbalan perdana menteri, Malaysia akan membantu industri halal Jepun yang bernilai berbilion dolar di mana para pegawai daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Perbadanan Pembangunan Halal akan ditempatkan di Tokyo.

Pada masa depan, kerjasama ekonomi lebih kukuh dengan Jepun adalah penting kerana Malaysia meletakkan dirinya sebagai pintu masuk strategik bagi Komuniti Ekonomi ASEAN dan lebih-lebih lagi kerana Jepun adalah ekonomi ketiga terbesar dunia.

Pada persidangan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia dan Persatuan Ekonomi Malaysia Jepun (JAMECA-MAJECA) ke-34 di sini, Ahmad Zahid mempelawa pelabur Jepun dan pelabur dunia yang lain untuk memanfaatkan peluang perniagaan dalam pasaran ASEAN yang amat besar, menggunakan Malaysia sebagai papan loncatan ke rantau itu.

Jepun adalah antara negara pertama melabur di Malaysia sejak era 1970-an lagi terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik, yang membantu melonjakkan Malaysia menjadi pengeluar utama barangan elektrik di dunia.

Selain syarikat multinasional Jepun, negara itu juga giat terlibat dalam pembangunan perindustrian Malaysia seperti yang dibuktikan menerusi penyertaan besar perusahaan kecil dan sederhananya dalam sektor pembuatan Malaysia.

Sejak itu, Jepun kekal menjadi antara pelabur utama di Malaysia.

Selain itu, hubungan Malaysia dan Jepun berkembang ke bahagian lain seperti keselamatan maritim, menjaga keamanan, pendidikan, pelancongan dan bantuan bencana.

Isu-isu ini, terutamanya pembinaan semula selepas bencana adalah antara perkara utama yang dibincangkan Ahmad Zahid dengan para pegawai tertinggi Jepun termasuk Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan timbalannya, Taro Aso semasa lawatan sulung beliau itu.

Malaysia akan menghantar para pegawai daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara ke Jepun dan belajar daripada pengalaman dan pengetahuan negara itu dalam menangani bencana alam semula jadi dan mengurangkan risiko bencana seperti itu.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid melahirkan harapan ia akan memantapkan lagi kesediaan Malaysia dalam menghadapi apa juga bencana alam semula jadi pada masa hadapan.

Malaysia juga mengalu-alukan penyertaan Jepun dalam proses pembidaan antarabangsa bagi projek kereta api laju pertama Asia Tenggara yang menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura dalam masa 90 minit berbanding kira-kira tiga jam sekiranya menggunakan jalan raya.

Dengan teknologi tingginya dan rekod prestasi yang baik dalam sistem kereta api laju, Jepun berminat untuk terlibat dalam projek tersebut dan bersedia menawarkan pakej timbal balik bagi Malaysia.

Ahmad Zahid menegaskan Malaysia amat memerlukan program offset yang mana itulah sebabnya mengapa kontrak tersebut akan diberikan berdasarkan bukan sahaja harga dan spesifikasi tetapi juga manfaat yang bakal diperoleh kerajaan dan rakyat.

Memorandum persefahaman untuk memudahkan pelaksanaan projek itu dijangka dimeterai oleh Malaysia dan Singapura bulan depan.

Mesyuarat Ahmad Zahid di Jepun membuahkan hasil dan membina, merangkumi pelbagai isu dua hala dan serantau.

Ia menyediakan platform bagi hubungan yang lebih kukuh menjelang ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada tahun depan dalam perdagangan dan pelaburan dan terutamanya dalam pembangunan industri halal Jepun.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada