Gerak Kerja Tersusun, Perpaduan Jentera Antara Faktor Kemenangan BN

Gerak kerja tersusun dan perpaduan kukuh jentera Barisan Nasional (BN) adalah antara faktor yang membawa kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Selangor.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun berdepan banyak kepayahan dan halangan namun, dengan kerjasama semua jentera parti di setiap peringkat, ia akhirnya membuahkan hasil buat BN.

"Tahniah dan syabas kepada Ibu Pejabat BN dan UMNO yang antaranya kerana (melaksanakan) susunan gerak kerja teratur, (selain) mengambil kira calon dipilih oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) boleh diketengahkan dan mempunyai material kepimpinan yang baik," katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan PRK Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak di sini, malam Sabtu.

Ahmad Zahid berkata PRK itu juga menyaksikan pengundi Cina kembali menyokong BN sekali gus membantu memberikan kemenangan besar BN di kedua-dua PRK itu.

BN menang dengan majoriti lebih besar di kedua-dua PRK itu berbanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.

PRK Kuala Kangsar dimenangi Datin Mastura Mohd Yazid, balu penyandang kerusi itu Datuk Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, manakala PRK Sungai Besar dimenangi Budiman Mohd Zohdi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang.

Mastura memperoleh majoriti 6,969 undi yang melebihi majoriti 1,082 undi yang diraih Allahyarham suaminya manakala Budiman meraih majoriti 9,191 undi berbanding 399 undi yang diperoleh penyandang kerusi itu Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon.

Mengenai kemenangan Mastura, Ahmad Zahid berkata ia banyak berkaitan dengan kepimpinan dan perpaduan BN Perak.

"Kepimpinan dan perpaduan BN negeri Perak khususnya kepimpinan UMNO di Kuala Kangsar dibantu oleh jentera UMNO di peringkat bahagian-bahagian selain bantuan dari negeri-negeri angkat yang ditentukan oleh Ibu Pejabat UMNO," katanya.

Selain itu, katanya para pengundi daerah ini mahu pembangunan Kuala Kangsar direleasasikan dan mereka menyedari bahawa ia hanya boleh dilaksanakan wakil rakyat BN.

Mastura merupakan produk politik yang berkualiti dan beliau boleh meneruskan kesinambungan pembangunan yang diharapkan oleh pengundi di Kuala Kangsar, kata Ahmad Zahid.

"Anak-anak calon BN turut membantu berkempen dengan bersungguh-sungguh sekali gus memudahkan kerja jentera BN," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada jentera BN serta parti komponen peringkat nasional negeri dan akar umbi yang membantu kempen PRK itu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada warga media yang memberikan liputan menyeluruh sepanjang kempen PRK berkenaan.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada