Demam Tidak Halang Ahmad Zahid Kotakan Janji Demi Rakyat

Walaupun tidak sihat, namun demi janji kepada penduduk Parlimen Bagan Datoh, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetap gigih menghadiri Majlis Tadarus al-Quran Perdana Parlimen Bagan Datoh.

Ahmad Zahid yang tiba kira-kira 11.15 pagi dengan berjubah putih turut menyertai bacaan tadarus bersama 1,245 peserta dari seluruh kawasan Bagan Datoh.

"Janji saya tiap tahun ada tadarus (walaupun) saya demam, saya sakit, saya akan datang untuk tuan puan. Papahlah saya untuk datang kecuali kalau saya nazak," katanya ketika berucap menutup majlis tadarus itu di sini Rabu.

Beliau menarik perhatian apabila berkata perpaduan ummah di Malaysia yang baik ketika ini adalah kerana tiadanya perbezaan mazhab, sebaliknya yang ada hanya perbezaan pendapat dan politik.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh mengajak umat Islam supaya mengetepikan perbezaan politik demi bangsa, agama dan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman serta makmur.

"Perbezaan pendapat ini telah diatasi dengan tasawuf, tentunya ia satu kaedah yang baik dan kita berpegang kepada ajaran al-Quran," katanya.

Menurut Ahmad Zahid, kemampuan mengenepikan perbezaan pandangan dan pegangan politik demi perpaduan ummah akan meletakkan Malaysia di kedudukan tersendiri serta dipuji oleh negara maju yang lain.

Mengenai majlis Tadarus al-Quran itu, Ahmad Zahid berkata ia merupakan penganjuran kali ke-21 dan berharap pada tahun depan jumlah penyertaan dapat ditingkatkan kepada 2,000 peserta.

"Al-Quran mengajak kita umat Islam menjadi masyarakat yang menjadikan kitab itu sebagai panduan hidup.

"Walaupun ia diadakan di Wisma UMNO, tetapi yang hadir terdiri daripada mereka yang mempunyai perbezaan pendapat kerana kita bersama atas nama ummah," katanya.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada