BN Guna Pendekatan Dekati Jiwa, Minda Pengundi

Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan mendekati jiwa dan minda pengundi dalam usaha memenangi undi mereka pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata BN tidak berasa riak dan takbur dalam pertandingan tiga penjuru di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Katanya, parti akan sentiasa berada di garisan hadapan dan yakin masalah yang timbul ketika ini bukan antara BN dengan parti lawan, tetapi dalam kalangan mereka sendiri.

"Jadi, kita tidak mahu masuk campur masalah dihadapi mereka (pembangkang) ini. Kita jaga rakyat.

"Kita tidak mahu melayan perbezaan sebegitu. Harap rakyat memberi kepercayaan kepada BN," katanya pada sidang media selepas selesai majlis penamaan calon di Dewan Seri Bernam, di sini, sebentar tadi.

Ahmad Zahid juga penyelaras kedua-dua PRK itu berkata, BN akan mengambil kira semua pengundi sama ada Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Katanya, BN adalah parti untuk semua dan apa yang dicatatkan dalam rekod selama ini mencerminkan keadilan yang diterjemah BN.

"Kita harap pengundi Sungai Besar dapat melihat semua ini. Bukan dengan emosi, tetapi dengan kenyataan rekod cemerlang yang telah ditunjukkan oleh wakil rakyat BN," katanya.

Mengenai calon BN bagi PRK Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid yang tidak boleh turun berkempen, Ahmad Zahid berkata, BN akan menggunakan kempen multimedia mengikut kumpulan sasaran yang sudah kenal pasti.

Katanya, semua bahan sudah diskripkan dan dirakamkan dan penyebaran akan dibuat terhadap kumpulan terbabit.

-Berita Harian-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi