Bekas Tentera Zaman Jepun Terima Kunjungan TPM Ahmad Zahid

Seorang bekas tentera pada zaman Jepun, Sabran Asfar tidak menyangka menerima kunjungan tetamu istimewa di rumahnya hari ini.

Kunjungan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke rumah Sabran, 97, di Kampung Sri Sentosa di Sekinchan di sini, nyata menceriakan warga emas itu yang kematian isterinya lapan tahun lepas.

Dalam lawatan itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan barangan makanan sumbangan UMNO Sungai Besar kepada Sabran serta beberapa warga emas lain di kawasan itu, yang juga pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan, bagi menghadapi Ramadan.

"Pak cik sangat terharu dan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang prihatin... pak cik juga berbesar hati dengan kedatangan timbalan perdana menteri yang memberikan bantuan barang keperluan," katanya yang berasal dari Bagan Serai, Taiping, Perak.

Turut mengiringi Ahmad Zahid dalam lawatan itu ialah Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO melakukan lawatan itu semasa program turun padang sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar yang memulakan kempennya hari ini.

Dalam kunjungan itu, Ahmad Zahid turut mengunjungi seorang lagi warga emas Misnah Hussin, 68, yang mempunyai masalah kesihatan.

Misnah, yang pernah bertugas sebagai anggota Rela selama lebih 20 tahun di kawasan Sabak Bernam, menyifatkan kehadiran pemimpin nombor dua negara itu ke kediamannya menunjukkan beliau seorang pemimpin yang rendah diri dan rajin turun padang.

"Bagus lah ada pemimpin yang turun padang melawat pengundi. Mak cik harap program sebegini harus diteruskan bagi mendekati rakyat," katanya yang mempunyai enam cahaya mata, 20 cucu dan dua cicit.

Selepas lawatan rumah ke rumah itu, Ahmad Zahid turut meninjau dan beramah mesra dengan jentera parti di beberapa markas BN dalam kampung itu.

Beliau turut menggunakan pendekatan lebih mesra kepada masyarakat kampung itu yang majoritinya pengundi Melayu berketurunan Jawa dan Banjar apabila berkomunikasi dalam dialek Jawa bersama mereka.

Bekas penyanyi kumpulan rock legenda Lefthanded Datuk Jamaludin Elias atau lebih dikenali sebagai Nash dan penyanyi Datuk Malik Ridzuan turut memeriahkan kempen PRK Parlimen Sungai Besar dengan menyanyikan beberapa lagu bagi menghiburkan petugas kempen.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu Tan Sri Noriah Kasnon akibat nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

PRK itu, yang diadakan pada 18 Jun ini, menyaksikan calon Barisan Nasional yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi ditentang PAS diwakili ADUN Meru yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman dan Pengerusi Amanah Sungai Besar Azhar Abdul Shukur bertanding mewakili Amanah.

Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,655 pengundi berdaftar terdiri daripada 42,365 pengundi biasa dan 286 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada