Badan Korporat Perlu Bantu Golongan Tidak Bernasib Baik

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu badan korporat menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan tidak bernasib baik.

Beliau berkata harta yang dimiliki wajar dikongsi bersama, namun pemberian tersebut perlulah dihulurkan secara ikhlas.

"Ini bukan tentang jumlahnya, janji perlu ada keikhlasan ... ini bukanlah tanggungjawab korporat semata-mata tetapi juga adalah tanggungjawab syarie," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan Ramadan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh, harta yang dimiliki bukanlah milik diri sepenuhnya kerana sebahagian kecil adalah milik golongan miskin, asnaf dan ibu tunggal.

Malah, katanya rezeki yang halal disedekahkan kepada orang kurang upaya, asnaf dan ibu tunggal pastinya akan mendapat infak dan keberkatan daripada Allah SWT.

"Saya harap harta yang ada boleh dimanfaatkan sebaiknya. Seolah-olah kita tanam sebiji gandum, dan daripada biji tu akan tumbuh sepohon gandum, dalam sepohon gandum itu ada 10 tangkai dan setiap satu tangkai itu mempunyai 70 biji.

"Begitulah ganjaran besar dijanjikan oleh Allah SWT," kata Ahmad Zahid.

Selepas majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut menghadiri majlis penyampaian sumbangan Ramadan di DUN Hutan Melintang.

Sebanyak 1,051 penerima iaitu 579 dari DUN Hutan Melintang dan 472 dari DUN Rungkup menerima bantuan Ramadan daripada Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) berupa wang tunai dan barangan keperluan dapur.

Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin diwakili Ketua Pengarah Eksekutifnya SM Faisal Nasimuddin menghulurkan sumbangan RM200,000 manakala Presma diwakili Presidennya Norul Hassan Saul Hameed menyumbang RM100,000 bagi program itu.

Selesai majlis tersebut, Ahmad Zahid menghadiri tahlil dan berbuka puasa bersama kira-kira 2,000 masyarakat setempat serta bersolat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Nur Hakim Jenterak di Masjid Kampung Sungai Keli, Hutan Melintang.

Beliau kemudiannya bersolat Isyak dan sunat tarawih bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Al-Aula, Pekan Simpang Empat.

Biarpun keadaan beliau sebenarnya tidak berapa sihat hari ini, Ahmad Zahid masih tetap mahu memenuhi jadual dan programnya bertemu masyarakat di kawasan diwakilinya dari pagi hingga malam.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada