AIM Bantu Banyak Keluarga Keluar Daripada Garis Kemiskinan

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah berjaya membantu banyak keluarga keluar daripada garis kemiskinan, sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri berkata sejak ditubuhkan 29 tahun lalu, AIM berjaya mencapai objektifnya dalam menyediakan pembiayaan kredit mikro kepada golongan miskin untuk mengusahakan pelbagai kegiatan ekonomi.

Katanya AIM juga berperanan membangunkan bidang keusahawanan dalam kalangan masyarakat setempat yang sekaligus menyumbang kepada ekonomi negara.

"Oleh sebab itu, badan-badan dunia yang berperanan memantau organisasi yang menyediakan pembiayaan mikro kredit telah memberikan pengiktirafan kepada AIM antaranya Anugerah Pemerkasaan Wanita 3G (Anugerah Tadbir Urus Baik Global) oleh Cambridge IF Analytica," katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan Sahabat AIM Sungai Besar di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar dan calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi.

Ahmad Zahid turut menzahirkan rasa berpuas hati dengan bayaran balik pinjaman oleh peminjam skim mikro kredit berkenaan.

Beliau berkata 98.7 peratus peminjam yang terdiri daripada golongan wanita tidak culas untuk membayar pinjaman masing-masing.

"Kalaulah dulu kerajaan bagi pinjaman AIM kepada lelaki, para suami, saya hampir pasti suami-suami akan bayar (hutang AIM) sepertimana wanita membayar hutang pada AIM," katanya disambut tepukan gemuruh 1,500 Sahabat AIM yang hadir.

Ahmad Zahid berkata kerajaan BN kekal komited membantu rakyat termasuk di Sungai Besar, namun sokongan mereka diperlukan untuk membolehkan BN terus mentadbir negara.

"Kita (BN) pilih Budiman untuk meneruskan perkhidmatan yang telah ditinggalkan Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon, saya yakin beliau mampu untuk membela rakyat di kawasan ini," katanya.

Allahyarham Noriah yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak, pada 5 Mei lepas.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM100,000 kepada Kelab Usahawan dan Kesukarelawan Parlimen Sungai Besar yang dilancarkan hari ini.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada