4 Lagi Nelayan Malaysia Dibebaskan

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan empat lagi nelayan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Indonesia dibebaskan kerajaan negara itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka dijangka tiba di negara ini bersama dua lagi nelayan dari Sekinchan, Selangor, yang mendapat pengampunan daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo.

"Ada empat lagi nelayan dari Johor yang turut dibebaskan. Mereka ini ditahan lebih awal dan akan tiba hari ini juga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Himpunan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Parlimen Kuala Kangsar bersama Timbalan Perdana Menteri dan meraikan ulang tahun Kelab Usahawan Amanah Ikhtiar Parlimen Kuala Kangsar di Universiti Sultan Azlan Shah Malaysia (USAS) di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ahmad Zahid berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim akan mengadakan sidang media bersama Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos mengenai perkara itu di Sekinchan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pengampunan dan pembebasan itu adalah hasil keakraban pemimpin kedua-dua negara dan berharap tiada lagi nelayan Malaysia ditahan selepas ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid menolak dakwaan pihak tertentu bahawa pihak berkuasa Malaysia ada membayar wang tebusan bagi pembebasan empat rakyatnya di selatan Filipina.

-Berita Harian-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada