2,630 Bot Nelayan Diberi Unit AIS Secara Percuma

Kerajaan membekalkan alat Sistem Pengesanan Automatik (AIS) secara percuma kepada 2,630 bot pukat tunda Zon B dan C di seluruh negara bagi mempertahankan hak nelayan jika mereka didakwa menceroboh kawasan perairan negara jiran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sistem berteknologi tinggi dari Jerman itu dapat memastikan keselamatan nelayan termasuk mencegah daripada menceroboh kawasan perairan negara jiran.

Katanya sistem itu boleh merekodkan kedudukan bot dan nelayan akan mempunyai bukti kukuh sekiranya berlaku sebarang tangkapan di laut oleh pihak berkuasa asing.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyampaian elaun sara hidup nelayan berjumlah RM247,200 kepada 1,237 nelayan dan pelancaran sistem AIS bagi Parlimen Sungai Besar di sini hari Sabtu.

Sebelum ini dilaporkan, alat AIS berharga RM4,600 setiap satu wajib dipasang pada bot pukat tunda Zon B dan C mulai 1 Jun lepas.

Ia bertujuan memantau pergerakan bot oleh pihak berkuasa serta meningkatkan tahap keselamatan nelayan ketika di laut sekiranya berlaku bencana.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata nelayan pukat tunda Zon B dibenar memohon pekerja asing bagi membantu kerja-kerja di dalam bot masing-masing.

Katanya nelayan di kawasan Parlimen Sungai Besar boleh mengemukakan permohonan itu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor, Datuk Jamal Md Yunos.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada