Usaha Kerajaan Majukan Pendidikan Untuk Kepentingan Rakyat

Usaha kerajaan membangunkan bidang pendidikan di negara ini adalah bagi memastikan rakyat mendapat pendidikan terbaik dan bukan bagi tujuan politik, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata dengan memajukan bidang pendidikan, semua rakyat akan mendapat manfaat daripada kemudahan tersebut, termasuk penduduk di luar bandar.

"Tidak kira sama ada Gen X, Gen Y atau Alpha, kerajaan memberi peruntukan yang banyak bukan sahaja untuk pembelajaran dalam kelas tetapi juga di luar kelas termasuk ko-kurikulum," katanya semasa merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Beladin dekat sini Selasa.


Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sesuatu kepada calon Barisan Nasional (BN) Beting Maro Razali Gafor selepas merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Beladin

"Kerajaan beri pelbagai peruntukan untuk pendidikan. Jadi sokonglah kerajaan yang membawa pembangunan ini," katanya.

Ahmad Zahid berharap semua pihak menghargai usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat pendidikan terbaik.

Ahmad Zahid berkata kerajaan memberi banyak kemudahan pendidikan yang bukan sahaja pembangunan fizikal tetapi juga dari segi pengisiannya.

"Kemudahan itu suatu pengisian minda dan hati nurani. Penekanan dalam pendidikan oleh kerajaan terutama melalui Kementerian Pendidikan adalah bagi memastikan supaya generasi di negara ini terdidik.

"Terdidik bukan hanya dalam bidang pelajaran tetapi juga mempunyai akhlak yang baik," katanya.

Beliau juga berharap dengan semua kemudahan yang disediakan kerajaan itu, guru-guru dapat memanfaat kemudahan tersebut bagi mendidik generasi muda negara dengan sebaik mungkin.

"Saya yakin penekanan kerajaan dalam bidang pendidikan dapat diterjemahkan dengan baik oleh pendidik. Kanak-kanak ini kadang-kadang dia lebih dengar cakap guru daripada ibu bapa.

"Pendidik adalah golongan profesional yang dihormati oleh semua generasi," katanya.

Ahmad Zahid berkata sumbangan kerajaan kepada bidang pendidikan jangan hanya dinilai melalui peruntukan tetapi juga kepada pengisiannya.

"Pembangunan fizikal boleh dilakukan tetapi pembinaan peribadi, membentuk generasi yang merupakan aset negara perlu dilakukan melalui sistem pendidikan terbaik.

"Melalui sistem pendidikan terbaik bukan hanya Malaysia akan menjadi negara maju pada 2020, tetapi apabila meraikan kemerdekaan negara ke-100 pada 2057, kita benar-benar jadi negara maju dan mempunyai tenaga profesional, yang mana rakyat mendapat pendidikan tinggi kira-kira 70 peratus daripada rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata usaha itu hanya boleh dilakukan dengan adanya kerjasama antara kerajaan, pendidik, ibu bapa dan masyarakat.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membina dewan terbuka untuk sekolah itu.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang juga Anggota Parlimen Batang Lupar, dan calon Barisan Nasional bagi kerusi Beting Maro, Razali Gapor.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada