Tuntutan Royalti Minyak Belum Boleh Dipertimbangkan Berikutan Kejatuhan Harga Minyak - Najib

Tuntutan kenaikan royalti minyak oleh kerajaan negeri Sarawak belum boleh diberi pertimbangan buat masa ini berikutan keadaan hasil negara yang terjejas akibat kejatuhan harga minyak dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Kabinet dan kerajaan negeri bersetuju masanya tidak sesuai kerana keadaan hasil negara sekarang tidak mengizinkan susulan kehilangan hampir RM40 bilion disebabkan kejatuhan harga komoditi tersebut.

Bagaimanapun, Najib memberi jaminan yang kerajaan pusat akan berusaha menampung keperluan pembangunan, termasuk untuk negeri Sarawak.

"Kita telah menambah peruntukan, misalnya, peruntukan di luar bajet yang banyak diluluskan untuk Sarawak," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet persekutuan di Wisma Bapa Malaysia, di sini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Najib berkata projek Lebuhraya Pan Borneo adalah contoh yang amat baik sekali bahawa komitmen kerajaan pusat terhadap Sarawak amat tinggi sekali dan akan diteruskan.

"Lawatan saya dan TPM setakat ini juga telah meluluskan RM3.5 bilion dan sehari dua ini akan banyak jutaan ringgit lagi kita curahkan untuk pembangunan di Sarawak," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan proses pemerkasaan kuasa, Najib berkata perkara ini telahpun dimulakan dan dilakukan secara berperingkat.

Menurutnya fasa pertama membabitkan perkara yang boleh dipindahkan secara pentadbiran, telah pun dibuat, seperti 13 perkara yang diumumkan Adenan.

Selepas ini, jelas Najib, kedua-dua pihak setuju untuk melihat perkara yang lebih kompleks berdasarkan kepada perundangan dan perjanjian Sarawak merdeka dalam Malaysia.

"Ini akan melihat apakah sebenarnya prinsip dan semangat perjanjian itu, dan sama ada kita telah terambil kuasa dari Sarawak atau rakyat Sarawak.

"Fasa pertama sudahpun selesai dan kita akan memasuki peringkat kedua yang memerlukan pakar-pakar undang-undang bersama dengan kita untuk meneliti segalanya," kata Najib.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada