TPM Mahu Lebih Banyak Pertubuhan Belia Tubuh Alumni

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu lebih banyak alumni diwujudkan dalam kalangan pertubuhan belia dan universiti bagi memastikan bekas ahli kekal bersatu.

Beliau berkata alumni boleh menjadi penyatuan pemikiran, hati nurani dan tindakan dengan ketiga-tiga elemen itu harus digunakan bagi menggerakkan semua perjuangan ketika berada dalam persatuan sebelum ini.

Katanya semangat dalam satu kesatuan harus diteruskan untuk kekal bergerak ke hadapan walaupun kadang-kadang ia meninggalkan banyak nostalgia ketika bersama suatu ketika dahulu.

"Saya rasa walaupun kita telah ketinggalan usia kebeliaan, kita masih berjiwa belia, kekuatan masih belia, walaupun telah lama meninggalkan usia belia," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis makan malam jalinan kasih 2016 Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni) di sini malam ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memuji usaha penubuhan Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni) yang diterajui Senator Tan Sri Dr Mohd Ali Mohd Rustam sebagai presidennya yang memainkan peranan besar dalam membantu bekas-bekas ahli Belia 4B Malaysia khasnya dari segi kebajikan.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan kerajaan sebanyak RM250,000 untuk disumbangkan kepada Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni).

Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Mei 2010.

Sebelum itu, Ahmad Zahid turut bersama-sama anggota pertubuhan tersebut menandatangani deklarasi menyokong kepimpinan Najib sebagai perdana menteri.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada