Tenaga Kerja Malaysia Digesa Sertai Sektor Pembinaan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu melihat lebih banyak rakyat Malaysia menyertai sektor pembinaan bagi menangani kekurangan pekerja asing di negara ini.

Beliau berkata walaupun kini terdapat kira-kira dua juta pekerja asing di negara ini, majikan masih berdepan kekurangan pekerja, menyebabkan beberapa projek lewat untuk disiapkan.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri memberi jaminan bahawa kerajaan mengambil perhatian situasi itu dan sedang memperhalusi proses pengambilan pekerja asing.

"Kerajaan sedar berhubung aduan berkaitan kekurangan tenaga kerja di dalam negara, termasuk dalam sektor pembinaan.

"Kami melihat dan mendengar (masalah), dan mengkaji permintaan mereka (majikan)," katanya dalam ucaptama pada Perhimpunan Persatuan Pengangkutan Awam Antarabangsa (UITP) Asia Pasifik Ke-16 di sini.

Ahmad Zahid berkata majikan juga perlu melatih lebih banyak tenaga kerja mahir tempatan sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap masalah itu.

Berucap kepada 500 perwakilan daripada lebih 30 negara di rantau Asia Pasifik, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan Malaysia komited untuk memastikan semua projek termasuk pengangkutan awam, dilaksanakan mengikut jadual.

"Kami akan memastikan tiada projek mengalami kelewatan tetapi sekiranya kelewatan tidak dapat dielakkan, ia perlu dipastikan pada tahap minimal," katanya.

Beliau berkata tatkala negara menjadi semakin maju dan progresif, sistem pengangkutan awam perlu seiring dengan kemajuan itu dari segi kemampanan dan mesra ekologi.

Beliau berkata adalah juga amat penting bagi perniagaan dan pihak kepentingan diberikan peluang untuk turut serta dalam merancang infrastruktur pengangkutan.

Ahmad Zahid turut berkongsi dengan para perwakilan tentang perkembangan projek-projek pengangkutan awam yang sedang dilaksanakan.

Beliau berkata ini termasuk menambah baik laluan rel utama dan rangkaian bas di Lembah Klang, meningkatkan kapasiti perkhidmatan monorel dan LRT serta memperkenalkan Sistem Hab Pemantauan Prestasi Bas dan model baharu bagi perniagaan teksi.

Katanya projek lain yang dirancang ialah projek Rel Bandar Putrajaya dan projek Bas Rapid Transit yang kedua bagi Lembah Klang.

"Kami juga sedang merancang projek yang amat mengujakan iaitu rel berkelajuan tinggi yang akan menghubungkan daerah pusat perniagaan di Kuala Lumpur dengan pusat bandar Singapura dalam hanya 90 minit sahaja," katanya.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada