Syed Rosli Akan Dipecat Jika Bertanding

Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Taman Cempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, akan dipecat daripada UMNO jika bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan itu pasti akan dilakukan parti kepada sesiapa sahaja ahlinya yang bertanding dalam pilihan raya menentang calon Barisan Nasional (BN).

"Jika Syed Rosli itu adalah ahli UMNO maka harga yang sepatutnya dibayar adalah beliau kehilangan taraf keahlian, itu pasti.

"Itu memang jadi dasar Lembaga Disiplin parti iaitu sesiapa yang bertanding yang bukan diwatikahkan oleh Presiden parti dan Pengerusi BN secara automatik akan terpecat.

"Malah penyokongnya daripada UMNO atau mana-mana parti dalam BN, tindakan sama akan diambil," katanya.

Beliau bercakap demikian kepada wartawan Malaysia di sini, sebentar tadi. Ahmad Zahid mengulas kenyataan Syed Rosli untuk bertanding sebagai calon Bebas pada PRK berkenaan selepas kecewa dengan keputusan kepemimpinan BN berhubung pemilihan calon.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada