Rakyat Perlu Seimbang Nilai Tradisi, Kemodenan Capai Status Negara Maju Pada 2020

Keseimbangan nilai tradisi dan kemodenan tinggi yang diterapkan oleh negara maju seperti Jepun dan Korea, perlulah dijadikan teladan oleh rakyat Malaysia terutamanya mahasiswa negara yang menuntut di negara matahari terbit ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata selaras dengan kesinambungan Dasar Pandang Ke Timur (LEP) 2.0, etika dan sikap positif rakyat Jepun perlu dijadikan panduan ke arah menjadi negara berstatus negara maju menjelang 2020.

Beliau berkata kejayaan sesebuah negara bukannya bergantung kepada kecemerlangan akademik semata-mata malah, pendidikan sikap dan tingkah laku turut diutamakan.

"Sebagai rakyat Malaysia yang sejati, kita perlu ketepikan perbezaan budaya dan agama namun bersatu pemikiran dan hati untuk meletakkan Malaysia di peta dunia.

"Kita boleh menoleh ke negara barat tetapi jangan lupa rumpun bumi iaitu di kawasan Asia Timur. Biar pun kita bertukar pemimpin sejak mencapai kemerdekaan, tetapi kesinambungan nilai-nilai yang baik haruslah dipertahankan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersama-sama 240 diaspora Malaysia di Jepun termasuk 170 mahasiswa yang menuntut di negara ini.

Majlis itu diadakan sempena lawatan kerja lima hari Ahmad Zahid ke Tokyo bermula hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata semangat juang Jepun yang bangkit daripada kemusnahan akibat Perang Dunia Kedua untuk menjadi sebuah negara maju, wajar dicontohi Malaysia.

Berbanding Jepun, katanya, Malaysia tidak jauh ketinggalan dan seharusnya mempunyai identiti sendiri menjelang 2057 iaitu ketika negara mencapai kemerdekaan 100 tahun.

Sepanjang lawatannya, Ahmad Zahid diiringi isteri Datin Seri Hamidah Khamis dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Kementerian Dalam Negeri.

Beliau dijadual menyampaikan ucap tama pada Persidangan bersama Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA) dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (JEMACA) ke-34.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada