PRK: BN Bergerak Sebagai 'Underdog'

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan berlaku pertandingan lebih daripada dua penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak bulan depan.

Pemangku Timbalan Presiden UMNO itu berkata ini berikutan pendirian PAS meletak calon serta parti pembangkang lain yang turut berminat untuk bertanding pada kedua-dua kerusi Parlimen tersebut.


"Kita (Barisan Nasional (BN)) menghormati keputusan PAS untuk meletakkan calon mereka dan tidak berkompromi untuk menarik diri atau meletakkan calon daripada parti lain," katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Rapat Alumni Nusantara dan Jaringan Alumni Nusantara di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini hari ini.

Justeru, beliau mahu jentera BN melipat gandakan usaha ketika proses berkempen bagi mengekalkan kerusi BN di kedua-dua Parlimen itu.

Katanya BN akan bergerak sebagai pasukan 'underdog' (bukan pilihan) walaupun kedua-dua kawasan itu dimenangi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lepas.

"Walaupun BN menang namun majoriti di Parlimen Sungai Besar hanya 349 dan di Parlimen Kuala Kangsar pula 1,082.

"Maka saya mengingatkan diri saya dan seluruh jentera BN supaya melipat gandakan usaha," katanya.

Katanya, BN juga tidak lagi bergantung kepada cara berkempen secara konvensional pada kedua-dua PRK ini, sebaliknya ia juga perlu memanfaat sepenuhnya kemudahan media sosial untuk meraih sokongan pengundi.

Katanya ini penting memandangkan Parlimen Sungai Besar mempunyai kira-kira 40 peratus pengundi muda manakala sebahagian besar daripada 68 peratus pengundi Parlimen Kuala Kangsar merupakan mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon, yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calonnya pada 5 Jun.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada