MSAN Setuju Kerajaan Negeri, Persekutuan Laksana Pembekalan Sumber Air Tanah

Mesyuarat Majlis Sumber Air Negara (MSAN) hari ini bersetuju kerajaan negeri dan persekutuan melaksanakan pembekalan sumber air tanah sebagai air mentah secara berterusan di loji rawatan air sedia ada bagi menghadapi kemarau.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat berikutan cuaca panas melampau beberapa bulan lepas hingga menyebabkan 17 daripada 505 loji rawatan air di negara ini kekurangan sumber air mentah.

"Mesyuarat hari ini turut membincangkan empat kertas pertimbangan mengenai penyelarasan tadbir urus sumber air bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan dan pembangunan sumber air negara," katanya dalam kenyataan media yang diedarkan selepas mempengerusikan mesyuarat MSAN ke-11, di Menara Parlimen hari ini.

Mesyuarat berlangsung kira-kira dua jam itu turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, menteri -menteri besar, ketua-ketua menteri dan menteri-menteri persekutuan serta exco kerajaan negeri.

Menurut Ahmad Zahid, MSAN juga bersetuju supaya Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim) dan Jabatan Pengairan dan Saliran melaksanakan Kajian Pelan Induk Sistem Bekalan Air Konjungtif di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid berkata konsep Sistem Bekalan Air Konjungtif itu tertumpu kepada penggunaan sumber air hujan, air larian ribut (kolam takungan), aliran rendah sungai dan air tanah.

Katanya antara syor yang turut dicadangkan dalam mesyuarat itu adalah pelaksanaan projek 'inter basin water transfer' bagi membantu penyelesaian negeri-negeri yang mengalami defisit air dan meningkatkan kapasiti storan empangan dan kolam takungan.

"Mesyuarat itu turut mengambil maklum cadangan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berhubung Strategi Pengurusan Permintaan Air Dalam Sektor Domestik dan Industri Malaysia," katanya.

Menurutnya pengurusan permintaan air merupakan kaedah berkesan bagi menguruskan sumber air negara secara lestari menerusi beberapa strategi termasuk penyelarasan tarif air secara berterusan ke arah pencapaian kos sebenar perbekalan air mencakupi aspek pemuliharaan kawasan tadahan, kos rawatan dan agihan.

"Selain itu, usaha berterusan juga dilakukan untuk mengurangkan kadar air tidak terhasil dan perluasan penggunaan aparatus cekap air seperti tandas dwi curahan secara mandatori yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara," katanya.

Ahmad Zahid berkata strategi lain yang akan dilaksanakan adalah penerokaan dan penggunaan sumber air alternatif seperti air hujan bagi mengurangkan kebergantungan kepada air terawat dan pelaksanaan Audit Kecekapan Air bagi premis-premis yang menggunakan banyak air.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada