Masac Akan Wujudkan Garis Panduan Pemulihan Penagih Dadah

Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (Masac) akan mewujudkan satu garis panduan rawatan pemulihan penagih dadah untuk membanteras penggunaan bahan terlarang itu dalam kalangan rakyat.

Presidennya Datuk Mohd Yunus Pathi berkata melalui garis panduan itu satu kaedah yang lebih standard akan digunakan dalam memberi rawatan kepada penagih terutamanya membabitkan pusat pemulihan persendirian.

Sehubungan itu beliau berkata gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Masac akan dilatih menggunakan garis panduan berkenaan secara berperingkat mulai Julai ini.

"Supaya orang kita diiktiraf dalam melakukan kerja-kerja pemulihan, kami akan menetapkan satu garis panduan untuk jalankan latihan bagi merawat penagih dadah," katanya pada sidang media di sini Ahad.

Terdahulu Masac yang merupakan gabungan 60 NGO dan pusat pemulihan persendirian yang menjalankan aktiviti berkaitan pencegahan dan pemulihan penyalahgunaan bahan terlarang, dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sempena pelancaran itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut menyerahkan dana RM2 juta kepada Masac sebagai geran tahunan untuk melaksanakan pelbagai program bagi memerangi najis dadah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Antidadah Kebangsaan Azizan Ariffin berkata penglibatan pelajar dalam penyalahgunaan dadah didapati semakin membimbangkan.

Katanya, terdapat murid sekolah yang berusia tujuh dan sembilan tahun yang terjebak dengan dadah yang berpunca daripada ibu bapa yang terlibat dengan dadah lalu diikuti anak-anak mereka.

"Selain itu, ibu bapa yang bekerja terpaksa meninggalkan anak, menyebabkan kawalan ke atas anak longgar dan anak-anak mudah terjebak.

"Bekalan dadah yang banyak dan murah juga merupakan penyumbang kepada situasi ini. Kalau dahulu sebiji ekstasi RM100, kini boleh didapati dengan RM10," katanya.

Azizan berkata sehingga 2015, seramai 26,000 penagih dadah dikesan di negara ini.

-- BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada