Kerajaan Komited Ringankan Beban Kos Sara Hidup Rakyat Sarawak

Kerajaan terus komited membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat Sarawak termasuk membelanjakan hampir RM300 juta untuk tujuan itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata peruntukan yang disediakan dalam Bajet 2016 itu adalah bagi menyeragamkan harga barang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
 
"Kita prihatin terhadap pencatutan harga, terhadap usaha pihak peniaga yang naikkan harga barangan, harga barang di Sarawak tidak sama dengan di Semenanjung dan Sabah," katanya pada Program Pemimpin Bersama Rela di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap anggota Rela Sarawak dapat memberikan bantuan yang secukupnya sekiranya diperlukan untuk memantau aktiviti penguatkuasaan terhadap harga barang.

"Atas kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Rela telah diberikan pertimbangan untuk membantu penguat kuasa supaya tidak ada peniaga naikkan harga dengan sesuka hati," kata Ahmad Zahid.

Timbalan perdana menteri berkata ini adalah antara pengiktirafan yang kerajaan berikan kepada pasukan Rela dan berharap 3.8 juta anggotanya di seluruh negara dapat membalas kepercayaan itu dengan sewajarnya dengan membantu dalam aktiviti pemantauan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mahukan anggota Rela Sarawak yang berjumlah 341,000 orang mengenepikan soal perbezaan politik dan menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata sokongan kukuh kepada Adenan dan seterusnya memastikan kemenangan besar Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 7 Mei ini, dapat memberikan ketua menteri mandat yang diperlukan untuk memastikan agenda pembangunan di negeri ini dapat dilaksanakan secara berterusan.

"Kita mahu Tok Nan (Adenan) bawa pembangunan lebih banyak terutamanya untuk kawasan luar bandar. Kita mahu Tok Nan lebih rapat dengan perdana menteri supaya PM dapatkan lebih peruntukan untuk masyarakat luar bandar di negeri ini.

"Kita mahu Rela bangkit dan bangun mengajak ahli keluarga dan rakan-rakan...lupakan perbezaan politik, lupakan soal kecil hati, lupakan soal calon BN yang ada dulu sedikit sebanyak tidak disukai kerana disebabkan oleh fitnah dan tohmah pembangkang," katanya.

Turut menghadiri program itu ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Richard Riot Jaem, yang juga Anggota Parlimen Serian serta empat calon BN iaitu Datuk Roland Sagah (Tarat), Datuk Seri Michael Manyin (Tebedu), Martin Ben (Kedup) dan John Ilus (Bukit Semuja).

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada