KENYATAAN MEDIA TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA - DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI SEMPENA KEMENANGAN BARISAN NASIONAL DALAM PILIHAN RAYA NEGERI SARAWAK 2016

KEMENANGAN 'TEAM-ADNAN'

1. Tahniah di atas kemenangan BARISAN NASIONAL (BN) terutama di bawah Tan Sri Adenan Satem yang dikenali sebagai “Team-Adenan”.

2. Kemenangan kita perlu dirai bersama rakyat Sarawak yang telah mengukur keupayaan BARISAN NASIONAL dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan bersandarkan rekod kejayaan sebelum ini.

3. Walaubagaimanapun, perjuangan tetap perjuangan walaupun di saat akhir kita berkempen, kita juga diduga dan berduka dengan kejadian yang tidak disangka iaitu helikopter yang terhempas termasuk membabitkan dua ahli Parlimen BARISAN NASIONAL iaitu Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon (Ahli Parlimen Sungai Besar) dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Kangsar), yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

4. Saya berterima kasih kepada semua jentera dan petugas BARISAN NASIONAL di peringkat Nasional dan Negeri yang berkempen untuk parti kita yang disayangi.

KEMATANGAN POLITIK

5. Keputusan pada kali ini menunjukkan satu iltizam rakyat Sarawak untuk melihat negeri Bumi Kenyalang sebagai sebuah negeri yang pesat membangun dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

6. Atas dasar itu, saya anggap kematangan rakyat Sarawak dalam berpolitik amat dipuji dan ini bermakna mereka telah menolak budaya politik kebencian yang sama sekali bertentangan norma kehidupan masyarakat tempatan di sini.

7. Rakyat Sarawak berjaya menterjemahkan kematangan politik itu melalui undi dan sebagai warga negara yang bertanggungjawab.

8. Dan saya percaya ini pasti membantu mereka membuat pilihan. Malah, pengundi Cina juga dilihat bersikap begitu terbuka, malah menyokong pelbagai inisiatif diperkenalkan oleh Tan Sri Adenan.

9. Masyarakat Cina tentunya mahukan suara mereka diwakili dalam DUN Sarawak, dengan peranan itu boleh dimainkan oleh calon Cina BN, bukannya oleh wakil pembangkang semata-mata.

10. Terima kasih kerana memberi lima tahun lagi kepada Tok Nan, saya pasti beliau akan terus memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sarawak, termasuk masyarakat Cina di sini.

PEMBANGKANG TIADA PERSEFAHAMAN, TIADA MUAFAKAT

11. DAP, PKR dan PAN masih tebal dengan sentimen kaum dan agama. Mereka masih sangat berbeza ideologi dan pendirian politik walaupun cuba berpakat apatah lagi terus meminggirkan PAS.

12. Pembangkanglah punca kepada POLITIK MELAMPAU ini. Pembangkanglah PEROSAK pembangunan politik. Mereka bertindak secara bersendirian umpama beragam rimbun menyelara.

13. Maknanya setiap orang ada kemahuannya sendiri. DAP ada acuan tersendiri dan PKR, ada congakannya tersendiri. Bak kata orang, rambut sama hitam,hati masing-masing. Mereka bercelaru berbanding BARISAN NASIONAL yang sentiasa KEBERSAMAAN DAN KESEPAKATAN.

14. Di bawah “Team-Adenan”, aura BARISAN NASIONAL semakin melonjak bagaikan rendah gunung, tinggi harapannya. Kemenangan pilihan raya ini adalah hasil rakyat yang mengundi kepada parti kita yang umpama rumpun bagai serai, seliang bagai tebu. Maksudnya, selalu bersatu hati dalam segala hal.

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada