KENYATAAN MEDIA: PELANCARAN TABUNG KEMANUSIAN PROGRAM PENEMPATAN SEMENTARA MIGRAN SYRIA

1. YAB Perdana Menteri semasa sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyatakan komitmen Malaysia untuk menerima 3,000 orang migran warganegara Syria dalam tempoh tiga (3) tahun secara sukarela atas dasar ihsan dan perikemanusiaan. Komitmen ini merupakan satu inisiatif negara dalam menjalankan tanggungjawabnya bersama-sama komuniti antarabangsa untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Syria yang berdepan dengan konflik dan peperangan.


2. Kerajaan berpandangan bahawa penglibatan dan kerjasama daripada sektor swasta dan organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam Program Penempatan Sementara Migran Syria (PPSMS) perlu diwujudkan bagi memastikan usaha-usaha yang dirancang di peringkat agensi/jabatan Kerajaan yang terlibat dapat dilaksanakan secara bersepadu dan komprehensif.

3. Sehingga kini, Kerajaan telah menjalinkan kerjasama dengan Gabungan NGO Kemanusiaan Syria yang terdiri daripada sembilan buah (9) NGO yang akan menguruskan hal ehwal pendidikan, kesihatan dan kebajikan migran Syria yang menyertai program ini. NGO-NGO yang terlibat adalah seperti berikut:

  • i. Humanitarian Care Malaysia (MyCare);
  • ii. Syria Care Malaysia;
  • iii. Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR);
  • iv. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM);
  • v. IMAM Response and Relief Team (IMARET);
  • vi. Muslim Care;
  • vii. Pertubuhan Sinar Damsyik Malaysia (PERSIDAM);
  • viii. Malaysia Life Line For Syria; dan
  • ix. Yayasan Restu.
4. Kerajaan amat berbesar hati untuk menjemput sektor swasta yang terdiri daripada badan-badan korporat dan syarikat persendirian untuk turut serta berganding bahu dan bekerjasama dalam menjayakan usaha murni ini. Segala bantuan samada dalam bentuk kewangan atau keperluan asas kepada kumpulan migran Syria ini adalah amat dialu-alukan.

5. Sempena pelaksanaan PPSMS ini, pihak Gabungan NGO Kemanusian Syria telah mengambil inisiatif untuk mengwujudkan Tabung Kemanusiaan Program Penempatan Sementara Migran Syria bagi mengumpul dana untuk menyediakan keperluan-keperluan asas kumpulan migran ini sepanjang keberadaan mereka di Malaysia. Dalam hal ini, pihak Kerajaan memberikan sokongan penuh ke atas inisiatif yang diambil oleh pihak Gabungan NGO Kemanusiaan Syria.

6. Sepertimana yang dinyatakan sebentar tadi, setiap bantuan samada daripada individu atau syarikat serta dalam pelbagai bentuk adalah amat dihargai. Ini sekali lagi akan memperlihatkan keprihatinan rakyat Malaysia dalam menghulurkan bantuan kepada mereka yang dalam keadaan yang amat memerlukan. Semoga segala usaha kita ini diberkati oleh Allah S.W.T.

Sekian, terima kasih.

Kementerian Dalam Negeri
Putrajaya.
20 Mei 2016

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada