Kelulusan Visa Pelajar Asing Dibuat Berhati-hati, Elak Jenayah

Kelulusan visa pelajar warga asing yang ingin melanjutkan pelajaran di negara ini dilakukan dengan amat berhati-hati bagi mengelak mereka terlibat dalam kegiatan jenayah 'love scam', kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ia dilaksanakan dengan pemantauan menerusi sistem Education Malaysia Global Services (EMGS) bersama Kementerian Pendidikan Tinggi.


Melalui EMGS, pihak berkuasa dapat memantau secara teliti aktiviti pelajar antarabangsa ketika berada di negara ini, sekaligus dapat mengelakkan mereka daripada terlibat dalam sebarang aktiviti kurang sihat.

"Kita fikir kaedah terbaik ialah bagi memastikan pelajar itu pelajar tulen dan bukan bakal 'love scam' ini.

"Dalam hal ini untuk tuduh semua negara Afrika memberikan dorongan kepada pelajar dan rakyatnya untuk love scam adalah tidak adil, tetapi inilah dia akibat nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan mengenai langkah kementerian khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras 'love scam' yang mengakibatkan ribuan wanita di negara ini ditipu dan kerugian wang ringgit.

Ahmad Zahid berkata mengikut rekod PDRM, sebanyak 4,673 kes penipuan 'love scam' dilaporkan sejak 2013 hingga Mei 2016 melibatkan kerugian berjumlah RM182.3 juta.

Katanya dalam tempoh itu juga, sebanyak 1,773 orang ditahan berhubung kes terbabit.

"PDRM mengambil beberapa langkah proaktif bagi mencegah kes ini yang terlalu meluas di media sosial yang bukan sahaja berlaku di negara ini, tetapi juga negara lain," katanya.

Ahmad Zahid berkata selain Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) dan Skuad Taktikal 3 Perjudian/Maksiat/Kongsi Gelap (STAGG), PDRM juga mempunyai Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) yang diwujudkan untuk menangani jenayah-jenayah terancang.

"STAFOC ini memantau dan melakukan tindakan terhadap jenayah terancang yang antaranya mana-mana kesalahan yang diletakkan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA)," katanya.

Menurut Ahmad Zahid usaha untuk mengesan dan mendakwa pihak yang terlibat dengan 'love scam' akan diteruskan dari masa ke semasa, selain memantau mereka yang memberikan akaun bank untuk digunakan oleh anggota sindiket.

"Kita juga memberi amaran dan mengingatkan orang ramai jangan jadi keldai walau dijanjikan habuan lumayan oleh penjenayah, tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) akan diambil.

"Kerjasama dengan Bank Negara Malaysia juga diwujudkan untuk pemerhatian terhadap akaun yang mencurigakan, selain kempen kesedaran kepada masyarakat supaya tidak mudah terpedaya," katanya.

-- BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada