Kejayaan Di Sarawak, Suntik Keyakinan Baharu Kepada BN

Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 semalam memberi keyakinan dan sinar baharu bukan hanya kepada rakyat Sarawak malah, kepada BN secara keseluruhananya.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata kepimpinan Pengerusi BN Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang tersendiri dalam menerajui negeri itu juga telah membuahkan hasil.

"Tahniah dan syabas kepada Adenan atas kemenangan cemerlang dalam pilihan raya negeri semalam," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai di kediaman mendiang di Subang Jaya Ahad.

Mendiang antara yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, Khamis lepas.

BN Sarawak memenangi 72 daripada 82 kerusi dalam pilihan raya negeri semalam, termasuk merampas tujuh kerusi majoriti Cina, antaranya kerusi paling panas iaitu Batu Kawah yang dimenangi Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata sokongan jitu dan padu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga antara faktor BN terus menerajui negeri itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S K Devamany berkata kemenangan BN membuktikan parti besar itu masih relevan dan dalam persiapan menuju pilihan raya umum ke-14.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersama Perdana Menteri supaya beliau dapat memimpin negara walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk sektor ekonomi.

"Kepimpinan Adenan dan Najib merupakan antara faktor utama kemenangan BN di Sarawak," katanya.

Devamany berkata sokongan pengundi Cina yang kembali kepada BN juga satu kejayaan yang besar bagi kerajaan dan membuktikan kerajaan BN sentiasa prihatin terhadap semua kaum.

Turut senada, Ketua Penerangan MIC Datuk V S Mogan yang berkata kepimpinan Adenan dalam menerajui negeri Sarawak merupakan faktor utama di sebalik kejayaan BN.

"Sikap Adenan Satem yang mempertahankan kepelbagaian kaum dalam negerinya yang bercorakkan 1Malaysia serta polisi kerajaan yang memimpin rakyat ke arah kecemerlangan adalah antara sebab kejayaan BN," katanya.

Beliau berkata perkara seperti ini yang seharusnya menjadi iktibar dan amalan oleh pemimpin parti politik di semenanjung.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada