Kaji Tambah Baik Skim Perkhidmatan Perguruan

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Kementerian Pendidikan mengkaji skim perkhidmatan perguruan di semua peringkat supaya ia dipertingkatkan sebagai penghargaan kepada jasa dan sumbangan warga pendidik.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penghargaan dan penghormatan kepada guru bukan hanya melalui ucapan atau kata-kata mutiara pada setiap 16 Mei, sebaliknya turut diterjemahkan melalui ganjaran yang lebih baik.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Kementerian Pendidikan mengkaji semula skim perkhidmatan baharu kepada golongan terbabit.

"Sambutan Hari Guru tentunya bukan sekadar bernostalgia, tetapi apa yang lebih penting kita harus ambil peduli kepada skim perkhidmatan guru semua peringkat.

"Jika ekonomi kembali pulih, kita berdoa skim perkhidmatan guru akan lebih baik daripada yang ada sekarang," katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis; Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. Kira-kira 6,000 guru dari seluruh negara hadir pada majlis kemuncak yang julung kali dianjurkan di Sabah dengan pelbagai program termasuk Festival Hari Guru diadakan sejak 13 Mei lalu.

Ahmad Zahid juga meminta supaya bidang tugas guru turut diberikan perhatian supaya mereka tidak dibebankan dengan tugasan tidak sepatutnya.

"Pada masa sama, pembentukan masyarakat berpendidikan bukan hanya kecemerlangan akademik, malah disertai dengan sahsiah diri dan keperibadian mulia," katanya.

-Berita Harian-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada