Calon Pembangkang Tidak Mampu Bawa Pembangunan - Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin supaya menyokong calon BN Christopher Gira bagi memastikan pembangunan dapat dibawa di kawasan berkenaan.

Mesej serupa dibawanya supaya pengundi di DUN Meradong, Repok dan Semop memangkah simbol 'dacing' dengan memilih calon BN.

Menurutnya, jika calon parti lain dipilih pada pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu ini, mereka tidak mampu membawa pembangunan yang diinginkan kerana pemimpin-pemimpin terbabit hanya pandai bercakap.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan mesra di pekan Selangau di sini hari ini, dalam kempen bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 itu.

Ahmad Zahid berkata sokongan untuk Christopher menandakan sokongan kepada BN untuk terus menerajui pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

"Sokong Tok Nan (Adenan), sokong Christopher Gira. Sokong Christopher Gira, sokong Tok Nan," katanya.

Timbalan perdana menteri berjanji akan membantu Christopher mendapatkan pembangunan yang diperlukan penduduk di kawasan Tamin.

Christopher sebelum itu, memohon supaya kerajaan menimbang antara lain, pembinaan kompleks kerajaan, kuarters penjawat awam, sebuah balai bomba dan sebuah sekolah menengah.

Dengan 14,948 pengundi, DUN Tamin menyaksikan pertembungan antara Christopher dengan calon Bebas dan PKR.

Pada perjumpaan bersama rakyat di Meradong, Ahmad Zahid berkata kemenangan BN di kerusi DUN berjiran Meradong, Repok dan Semop akan menjurus kepada pembangunan seterusnya dapat dibawa di kawasan berkenaan.

"Saya berjanji akan datang semula ke sini kalau ketiga-tiga calon ini menang. Setakat ini, apabila saya berjanji, saya akan tunaikan janji," katanya.

Calon BN di Meradong ialah Ding Kuong Hiing, Datuk Seri Huang Tiong Sii (Repok) dan Abdullah Saidol (Semop).

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada