Budiman Calon BN Bagi PRK Parlimen Sungai Besar

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO di hadapan kira-kira 2,000 penyokong itu pelancaran jentera PKR itu di Pusat Arahan BN di Sungai Panjang, di sini, malam ini.

Ahmad Zahid berkata pemilihan Budiman diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN, selepas mengambil kira pelbagai aspek.

"Apa yang penting, calon ini disenangi oleh semua peringkat terutama akar umbi dan diterima oleh rakan-rakan dari semua kaum.

"Kombinasi semua ini akan menjadi faktor penentu kemenangan BN di PRK Parlimen Sungai Besar nanti.

"Terlalu ramai layak jadi calon dan kita pilih anak tempatan yang boleh jalankan tugas dengan baik, muda, berkaliber serta boleh meneruskan kerja-kerja wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon," katanya.

Budiman, 44, adalah anak tempatan yang berasal dari Kampung Sungai Limau di sini, dan juga Setiausaha ADUN BN Selangor.

Beliau, yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkahwin dengan Norma Aida Abdullah dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur 16 tahun.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013, Budiman menang kerusi DUN Sungai Panjang selepas menewaskan Mohd Fadzin Taslimin daripada PAS dengan majoriti 2,183 undi.

DUN Sungai Panjang berada di bawah Parlimen Sungai Besar.

PRK Parlimen Sungai Besar diadakan pada 18 Jun ini dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada PRU13, Allahyarham Noriah mendapat 18,695 undi dengan majoriti 399 undi mengalahkan calon PAS, Mohamed Salleh M.Hussin yang memperoleh 18,296 undi.

Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi dari kaum lain.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada