Akta Khusus Untuk AKSEM Tingkat Kawalan Keselamatan Akan Diwujudkan

Satu akta khusus untuk Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) bagi menguatkuasakan kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand akan diwujudkan, yang dijangka dibentangkan di Parlimen penghujung tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan adanya akta baharu itu nanti ia akan memperkasakan AKSEM dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan kawalan sempadan.

"Draf awal telah disediakan penasihat undang-undang Kementerian Dalam Negeri dan kita akan perincikan dengan Bahagian Draf Perundangan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum kita lakukan kerjasama dengan kerajaan negeri yang bersempadanan dengan Thailand sebelum dibawa ke Parlimen.

"Kita perlu dapat maklum balas kerajaan negeri dan rakyat kerana kita nak pakai undang-undang ini untuk tempoh panjang, bukannya singkat dan nanti perlu diubah suai pula," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran AKSEM di Kompleks AKSEM Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, buat sementara, AKSEM kini beroperasi secara pentadbiran berlandaskan punca kuasa Arahan Majlis Keselamatan Negara.

Beliau berkata, pewujudan akta baharu itu membolehkan AKSEM bergerak sendiri dengan lebih menyeluruh dan kawalan sempadan akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Ketika ditanya mengenai pembinaan pagar sempadan baharu bagi menggantikan pagar lama yang dibina sejak 1970-an, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan melihat daripada pelbagai sudut sebelum ia dibina.

"Kita tidak boleh pandang soal kos semata-mata, tapi lihat berapa banyak masalah kita dapat selesaikan terutamanya berkaitan penyeludupan dadah, senjata serta barangan bersubsidi," katanya.

Sempadan Malaysia-Thailand dianggarkan sepanjang 646 kilometer, namun hanya 111 kilometer sahaja yang berpagar.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengumumkan nama baharu AKSEM yang sebelum ini dikenali sebagai Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia kepada Agensi Kawalan Sempadan Malaysia.

Ahmad Zahid juga mengumumkan pelantikan SAC Datuk Mohamad Ismail sebagai Ketua Pengarah AKSEM yang pertama.

Mohamad sebelum ini adalah Ketua Staf Pasukan Khas Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Penubuhan AKSEM diumumkan Ahmad Zahid tahun lepas, dianggotai Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.

Ahmad Zahid berkata, bagi mengelakkan berlaku sebarang masalah khususnya kawalan keselamatan yang longgar di kawasan sempadan, pegawai dan anggota di sempadan akan ditukarkan tiga hingga enam bulan sekali.

"Kita tahu akan jadi masalah kepada keluarga, tapi ia mungkin boleh diatasi.. Soal keselamatan tidak boleh dikompromi," katanya.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada