Ahmad Zahid tiba di Tokyo untuk lawatan kerja 5 hari

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tiba di sini semalam bagi melakukan lawatan kerja lima hari ke Jepun.

Ia adalah lawatan sulung Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri ke negara matahari terbit itu sejak menjadi pemimpin nombor dua negara.

Ketibaannya yang ditemani isteri, Datin Seri Hamidah Khamis dengan menaiki pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda di sini, disambut Wakil Khas Perdana Menteri ke Asia Timur, Datuk Seri Tiong King Sing; Duta Besar Malaysia Ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Malam ini, Timbalan Perdana Menteri akan menghadiri jamuan makan malam bersama penuntut dan rakyat Malaysia yang berada di sini.

Sepanjang berada di Tokyo dan Sedai, Timbalan Perdana Menteri yang mengetuai delegasi Malaysia akan mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatannya yang juga Menteri Kewangan Jepun, Taro Aso.

Beliau juga dijangka turut bertemu Menteri Luar Jepun, Fumio Kishida; Menteri Kehakiman, Mitsuhide Iwaki dan Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga.

Ahmad Zahid juga akan menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Bersama Persatuan Ekonomi Jepun Malaysia - Persatuan Ekonomi Malaysia Jepun (JAMECA-MAJECA) ke-34.

Lawatan kerja beliau antara lain turut melawat Miyagi Perfecture yang dilanda tsunami pada tahun 2011 dan gempa bumi bagi mempelajari pengalaman Jepun dalam menghadapi situasi bencana dan proses pemulihan pasca bencana.

Selain lawatannya ke NEC Innovation World, Ahmad Zahid juga akan menaiki kereta api laju Shinkansen dari sini ke Sendai dan diberikan taklimat operasi dan rangkaian rel berkelajuan tinggi (HSR) oleh East Japan Railway Company (JR East).

-Berita Harian-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada