Tok Nan pemimpin luar biasa

MUKAH: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Tan Sri Adenan Satem sebagai `manusia luar biasa'.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Ketua Menteri berusia 72 tahun itu adalah pemimpin yang ringkas, mudah didekati dan memiliki jiwa rakyat yang cukup tebal.

"Ini kali ke-10 saya datang ke Sarawak sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan saya kagum dengan komitmen ditunjukkan oleh Tok Nan (Adenan).

"Tok Nan turun merata tempat seluruh negeri bukan kerana pilihan raya sahaja, beliau mendekati rakyat bukan soal undi sahaja tetapi beliau pergi ke akar umbi kerana mahu tahu permasalahan rakyat.

"Itu sebabnya saya anggap beliau seorang manusia luar biasa," katanya berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Masjid, Balingian, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Mukah, Datuk Seri Dr Muhamad Leo Toyad dan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi.

Ahmad Zahid berkata, Adenan membuktikan dirinya benar-benar ikhlas berkhidmat untuk rakyat apabila mengumumkan untuk berundur sebagai Ketua Menteri dalam tempoh lima tahun lagi.

"Ini membuktikan Tok Nan bukan pemimpin yang tamak, tidak gelojoh dan menetapkan bila untuk berundur.

"Sebelum berundur, Tok Nan mahu membuktikan kepada rakyat untuk meneruskan kesinambungan pembangunan yang dilaksanakan kepimpinan terdahulu dengan baik atau mungkin lebih baik lagi," katanya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, rakyat Sarawak harus memberi sokongan padu kepada Adenan dan pasukannya dalam BN negeri untuk melaksanakan lebih banyak agenda dirancang dalam tempoh lima tahun akan datang.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada