Sejarah Pilihan Raya Negeri Sarawak Sepintas Lalu

Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia mengadakan pilihan raya negeri berasingan daripada pilihan raya umum.

Bagaimanapun, pada tahun 1970 dan 1974, Sarawak mengadakan pilihan raya bagi negeri dan kawasan Parlimen secara serentak.

Keadaan itu berubah pada pilihan raya umum 1978. Semasa menyertai perebutan untuk kerusi Parlimen, Sarawak memilih untuk mengadakan pilihan raya negeri setahun kemudian.

Ini berikutan kumpulan yang diketuai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Chong Siew Chiang, meninggalkan SUPP dalam parti gabungan pemerintah untuk membentuk DAP Sarawak.

Ketua Menteri ketika itu, Datuk Patinggi Abdul Rahman Yakub agak bimbang banyak pengundi Cina mungkin mengundi DAP kerana masalah dalaman berkaitan SUPP dalam Barisan Nasional, dan memerlukan masa untuk "menstabilkan" keadaan.

Ternyata, DAP tidak menang satu kerusi pun dalam pilihan raya negeri Sarawak yang ketiga pada tahun 1979. Begitu juga pada pilihan raya negeri pada tahun 1983, 1987 dan 1991, parti itu tidak mendapat sebarang kerusi.

DAP, kini saingan utama BN di Sarawak, hanya mula memenangi kerusi iaitu tiga pada tahun 1996.

Pilihan raya negeri keempat diadakan pada tahun 1983, dan kelima pada 1987, selepas sekumpulan wakil rakyat memberontak terhadap Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud (kini Tun dan Yang Dipertua Negeri Sarawak) dalam apa yang dikenali sebagai "Ming Court Affair".

Mereka termasuk beberapa ahli daripada PBB yang membentuk puak "Kumpulan Maju" Parti Bansa Dayak Sarawak, atau PBDS, yang keluar daripada Barisan Nasional negeri namun kekal sebagai komponen BN di peringkat kebangsaan.

Taib mengetuai BN negeri dan mencapai kemenangan, memenangi 28 daripada 48 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri. Kemudian, dengan pembelotan lapan wakil rakyat PBDS, BN mendapat majoriti dua pertiga.

Pilihan raya negeri yang keenam, pada tahun 1991, diadakan selama dua hari - 28 dan 29 Sept. Yang ketujuh diadakan pada tahun 1996, pada 7 dan 8 Sept.

Pilihan raya negeri kelapan diadakan dalam masa sehari, 27 Sept, pada tahun 2001 disebabkan kemudahan infrastruktur dan komunikasi yang bertambah baik. Yang kesembilan pula diadakan pada 20 Mei 2006.

Pilihan raya negeri ke-10 diadakan pada 16 April 2011, dengan 71 kawasan pilihan raya dipertaruhkan.

BN menguasai 55 daripada 71 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri yang dibubarkan hari ini, DAP 11 dan PKR tiga. Terdapat dua calon Bebas.

Kerusi BN yang dipegang oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu atau PBB (35), Parti Rakyat Bersatu Sarawak atau SUPP (enam), Parti Demokratik Progresif Sarawak atau SPDP (enam) dan Parti Rakyat Sarawak atau PRS (lapan).

Dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan negeri di Sarawak, yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Dis tahun lalu, kerusi Dewan Undangan Negeri meningkat kepada 82.

Sebelas kerusi baharu terdiri daripada tiga majoriti Melayu/Melanau, tiga majoriti Iban, dua majoriti Orang Ulu, dua majoriti Bidayuh dan satu kerusi majoriti Cina.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada