RTC Bukti Kerajaan Tidak Pinggir Masyarakat Luar Bandar

DUNGUN - Kewujudan 10 Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di seluruh negara membuktikan kerajaan tidak meminggirkan masyarakat luar bandar dalam arus pembangunan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha melakukan perimbangan dari segi pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat sama ada di bandar mahupun luar bandar.


"Di luar bandar adalah pusat kuasa rakyat ... di mana orang luar bandar menjadi pendukung utama kerajaan yang ada hari ini, ertinya kerajaan tidak melupakan orang luar bandar.

"Ertinya kewujudan RTC ini juga sebahagian daripada transformasi membandarkan kawasan-kawasan luar bandar," katanya ketika berucap melancarkan RTC Terengganu di Bandar Al-Muktafi Billah Shah di sini, Sabtu.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Bangunan RTC Terengganu terdiri dua blok mengandungi 36 unit mula digunakan pada 1 Sept 2014. Antara jabatan dan agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan ialah Jabatan Imigresen; Jabatan Perkhidmatan Veterinar; Yayasan Pembangunan Usahawan dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Ahmad Zahid berkata penubuhan RTC melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) mengambil kira apa yang diperlukan rakyat di peringkat akar umbi, menjadikannya amat relevan dalam kehidupan masyarakat luar bandar.

Beliau berkata RTC bukan hanya membawa pembangunan fizikal malah membuka minda masyarakat luar bandar khususnya dalam mendapatkan ilmu dan kemahiran melalui konsep satu hentian pelbagai perkhidmatan yang disediakan.

Justeru, beliau berkata rakyat perlu menilai segala pembangunan dan perkhidmatan yang disediakan kerajaan dalam memudahkan urusan harian serta menaik taraf hidup mereka.

"Tidak ada makna kalau ada pembangunan fizikal tetapi tidak ada rasa penghargaan dalam kalangan mereka yang menerima segala bantuan ataupun sumbangan yang diberikan kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata RTC Terengganu menampilkan keistimewaan tersendiri apabila menawarkan pusat hemodialisis dan pusat rehabilitasi dikendalikan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

Katanya ia merupakan perkhidmatan yang amat diperlukan oleh penduduk sekitar yang sebelum ini terpaksa mendapatkan perkhidmatan itu di bandar-bandar besar berdekatan.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada