Prosedur Operasi Standard Urus Keselamatan Aset Strategik Dikaji Semula

Prosedur operasi standard (SOP) pengurusan keselamatan segala aset strategik negara perlu dikaji semula susulan bentuk ancaman keganasan yang semakin berubah dari semasa ke semasa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata definisi aset strategik sebelum ini hanya memfokuskan kepada aset-aset penting kerajaan perlu diperhalusi semula memandangkan banyak aset-aset penting kini dimiliki pihak swasta termasuk stesen janakuasa elektrik dan stesen televisyen.

SOP pengurusan keselamatan aset strategik dibuat 40 tahun dahulu hanya tertumpu kepada aset kerajaan yang dikhuatiri menjadi sasaran ancaman komunis tetapi banyak aset itu telah diswasta atau dikorporatkan, katanya semasa merasmikan Seminar Sasaran Penting peringkat Kebangsaan 2016 di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan, ancaman keganasan kini semakin berbeza berbanding 40 tahun dahulu dengan risiko serangan hanya tertumpu kepada aset kerajaan ketika itu.

Katanya, insiden serangan yang berlaku baru-baru ini seperti di Jakarta dan Brussels juga menunjukkan serangan kini bukan hanya mensasarkan aset-aset penting tetapi juga tempat menjadi kunjungan orang ramai seperti pusat beli belah dan stesen pengangkutan awam.

Ahmad Zahid berkata, ancaman pada hari ini harus dilihat dalam skop yang berbeza dan secara holistik untuk menentukan kesesuaian persediaan untuk menghadapinya.

"Jangan dilihat bila telah berlaku, maka baru kita hendak mengambil tindakan, kita harus bersedia sebelum ia berlaku," katanya.

Dalam hal itu, Ahmad Zahid berkata, tanggungjawab menjaga keselamatan aset-aset strategik bukan hanya terletak di atas bahu pasukan keselamatan sahaja, tetapi juga pihak swasta yang memiliki aset tersebut.

Beliau berkata perlu ada kerjasama antara pihak keselamatan dengan pihak swasta untuk tujuan itu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kaedah tapisan keselamatan terhadap pekerja dan pengunjung di premis aset-aset strategik juga perlu dilihat semula bagi memastikan tahap keselamatannya terjamin.

Ahmad Zahid turut menyentuh mengenai peranan pengawal keselamatan dan kelengkapan keselamatan seperti kamera litar tertutup yang amat penting dalam memastikan keselamatan di kawasan-kawasan tersebut.

Selain itu, jelasnya, soal ancaman keselamatan juga bukan hanya merujuk kepada serangan secara fizikal, tetapi turut membabitkan serangan secara siber terutama kebocoran maklumat.

Seminar sehari itu bertemakan 'Sasaran Penting Terpelihara, Mensejahterakan Rakyat' bertujuan membincangkan strategi pengurusan dan merangka dasar berkaitan pengurusan keselamatan aset-aset strategik.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi