Populariti Adenan Jadi Faktor Kemenangan Besar BN

Bahang pilihan raya negeri yang semakin dirasai di Sarawak pada ketika ini mirip dengan pencapaian luar biasa Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2004.

Ketika itu, selepas 22 tahun kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, pengundi begitu bersemangat untuk melihat perubahan dan memberi kemenangan besar kepada BN yang dipimpin oleh perdana menteri baharu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ia adalah satu mandat baharu yang dialu-alukan selepas lebih dua dekad di bawah era Dr Mahathir.

Selepas hampir 33 tahun di bawah kepimpinan ketua menteri Tun Abdul Taib Mahmud, yang meletak jawatan dua tahun lepas, banyak petunjuk yang memperlihatkan pengundi bersedia memberi kemenangan luar biasa kepada penggantinya, Tun Adenan Satem, pada pilihan raya kali ini.

Hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), terbesar dalam sejarah negeri berkenaan, ditetapkan hari ini manakala pengundian pada 7 Mei ini.

Adenan setakat ini merupakan faktor kemenangan dan penarik paling besar bagi BN di negeri terbesar ini dengan populariti dan jalinan mesra rakyat dengan kerajaan (Feel Good Factor) terserlah serta mencerminkan impak berkesan dalam tempoh yang singkat.

Kempen pilihan raya akan bermula sebaik selesai penamaan calon esok tetapi pemimpin parti-parti pembangkang sudah mengakui bahawa mereka bakal berdepan dengan saingan paling sukar berikutan peningkatan populariti Adenan.

Kempen BN adalah bersepadu di bawah jenama 'Pasukan Adenan' dengan suara lantang pemimpin berusia 72 tahun itu untuk memberikannya tempoh lima tahun lagi dan tidak selebih itu untuk membawa transformasi kepada negeri yang sebahagian besarnya kawasan luar bandar.

Mengisytiharkan diri bahawa beliau tidak akan 'overstay' (tinggal lebih tempoh) adalah satu lagi faktor yang membuat pengundi begitu teruja untuk memberi mandat baharu yang ditagih kerana Adenan lebih rela rakyat Sarawak menghakimi tindakannya dalam tempoh dua tahun dan bukan sekadar retorik.

"Dua tahun tidak cukup untuk saya melaksanakan semua program pembangunan bagi mentransformasikan Sarawak. Sekiranya anda memberi mandat yang besar, saya boleh beritahu Putrajaya untuk mendengar permintaan kami bagi mensejahterakan negeri ini.

"Saya bukan gila kuasa. Selepas lima tahun, saya tidak ingin menjadi ketua menteri dan mahu bersara. Pada masa itu, mungkin saya dah nyanyuk," katanya pada perhimpunan yang dihadiri oleh 50,000 orang di sini semalam.

Adenan telah melaksanakan sekurang-kurangnya 53 dasar dan tindakan yang telah membantu mengurangkan bebanan rakyat terutama penduduk kawasan luar bandar serta insiatif bagi meningkatkan produktiviti komuniti perniagaan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Laporan hasil dapatan kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan populariti Adenan melonjak kepada 84 peratus, yang merupakan peratusan tertinggi pernah direkodkan oleh mana-mana ahli politik tempatan.

Ketika penulis menemurah beliau di pejabatnya bulan lepas, saya (penulis) beritahu bahawa beliau seolah-olah menekan 'semua butang yang betul'.

Secara ringkas, beliau menjawab: "Saya harap begitu".

Tidak lama selepas menjadi ketua menteri, beliau mengambil tindakan terbesar dan paling berani apabila berdepan dengan beberapa taikun balak di negeri ini dan memberitahu dengan tegas 'cukup-cukuplah'.

Ini adalah cara beliau menegur mereka dengan menyatakan bahawa beliau akan membanteras secara habis-habisan pembalakan haram serta pegawai penguat kuasa yang bersekongkol dalam memusnahkan sumber hutan negeri.

PRN-11 menyaksikan 82 kerusi menjadi perebutan iaitu 11 lebih daripada pilihan raya negeri 2011, sekali gus menjadikan ia pilihan raya paling besar dalam saiz negeri yang hampir sama dengan semenanjung tetapi sebahagian besarnya kepadatan penduduk yang kecil.

Dalam usaha memperjuangkan hak-hak Sarawak dan penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan, tiada pemimpin Sarawak dalam sejarah secara terus-terang seperti Adenan dengan kata-katanya yang sangat jelas.

Disebabkan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggelarnya sebagai 'pemimpin luar biasa'.

Adenan cukup marah dengan beberapa ahli politik atau mereka yang fanatik dengan memanggil kaum Cina sebagai 'pendatang' malah beliau berkata: "Jika ada rakan saya di semenanjung memanggil anda pendatang, jangan pedulikan mereka".

Beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih kembali sokongan pengundi Cina selepas BN hilang sokongan kaum itu secara ketara pada pilihan raya negeri lepas apabila negeri itu turut terkena tempias dalam fenomena tsunami Cina pada pilihan raya umum 2013.

Justeru, Adenan juga menyifatkan dasar negara sebagai 'bodoh' dalam tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) - yang diiktiraf oleh Sarawak yang membolehkan kemasukan pelajar Cina ke universiti dan perkhidmatan awam di negeri itu.

Semasa pilihan raya ini, semua orang menjangkakan ketua menteri itu menambah peruntukan kepada jumlah RM5 juta yang telah dijanjikan untuk membantu sekolah persendirian Cina di negeri ini.

Penganalisis politik terkenal Sarawak, Prof. Madya Dr Jeniri Amir berkata cabaran besar bagi Adenan pada kali ini adalah merampas semula beberapa kerusi dalam 12 kerusi majoriti Cina yang hilang kepada DAP pada pilihan raya negeri 2011 di mana parti komponen BN, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menunjukkan prestasi terburuk.

Ujian sebenar dan penanda aras Adenan ialah sama ada beliau boleh memikat semula hati dan minda pengundi Cina. Jika BN boleh merampas sebilangan kerusi majoriti Cina dan meningkatkan undi popular dalam kalangan pengundi kaum itu daripada 37 peratus pada 2011 kepada 42 peratus, maka ia boleh dianggap sebagai satu kejayaan.

"Tetapi jangan mengharapkan tsunami Cina memihak kepada BN," kata Jeniri kepada Bernama.

Beliau meramalkan BN menang antara 65 dan 70 kerusi berbanding 54 pada 2011, sambil menjelaskan ia adalah kesimpulan mutlak bahawa BN boleh mencapai kemenangan majoriti dua pertiga.

Menururutnya parti-parti pembangkang lain kecuali DAP adalah lemah dan sumber yang terhad dalam menggugat kedudukan BN Sarawak.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi