Perjanjian Lebuhraya Pan Borneo Sabah dimeterai

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menyaksikan majlis memeterai perjanjian pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Rakan Penyampai Projek atau Project Delivery Partner (PDP), Borneo Highway PDP Sdn Bhd (BHP) di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Pada majlis itu, Kerajaan Persekutuan diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob; Kerajaan Sabah diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman manakala BHP diwakili Pengarah Urusan, Shahelmey Yahya.

Yang turut sama menyaksikan pemeteraian itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; timbalannya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Pakej pertama projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah membabitkan jajaran Papar-Doggongan sepanjang 11.7 kilometer (km), yang menjadi sebahagian daripada 706 kilometer jajaran Pan Borneo Sabah Fasa 1.

Kebanyakan laluan itu akan dinaik taraf kepada empat lorong dua hala dengan piawaian R5, dijangka dilancarkan pada penghujung April 2016. Perdana Menteri dalam ucapan Bajet 2014, mengumumkan pelaksanaan projek lebuh raya sepanjang 2,239 km, yang disasar menjadi penghubung beberapa bandar utama Sabah dan Sarawak dengan anggaran kos sebanyak RM27 bilion.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan syarikat Lebuhraya Borneo Utara sudah memuktamadkan rundingan perjanjian bagi pelaksanaan fasa satu lebuh raya itu membabitkan jajaran sepanjang 773 km.

Bagi jajaran di Sabah, sebuah Jawatankuasa Eksekutif dipengerusikan Sukarti dan dianggotai agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan dibentuk untuk menyelaraskan pelaksanaan projek.

BHP akan bertanggungjawab dalam mengurus dan menyelia pembangunan fasa pertama lebuh raya dengan kadar kos yang berpatutan pada tempoh pembinaan yang dipersetujui kerajaan iaitu siap sepenuhnya sebelum Disember 2021.

Projek ini bukan sahaja dijangka memberi kesan positif kepada penduduk Sabah, malah ia berupaya memacu pembangunan Koridor Ekonomi di Sabah.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada